Pakatan Harapan (PH) Johor konsisten dengan pendirian bahawa mandat rakyat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu mesti dikembalikan mengikut perlembagaan.

Dalam satu kenyataan media bersama, PH Johor turut menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu kemelut politik di negeri itu dihentikan.

Malah, PH Johor turut menegaskan keyakinan mereka terhadap amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang menjadi tulang bekalang negeri dan negara.

“PH Johor akan sentiasa berpegang teguh prinsip ini dalam apa jua keadaan termasuklah dalam mendepani situasi politik semasa yang sedang kita lalui ketika ini.

“PH Johor turut konsisten dengan pendirian bahawa mandat rakyat - yang telah diterjemahkan menerusi PRU14 lalu - mestilah dikembalikan mengikut proses serta lunas-lunas perundangan sewajarnya sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan,” memetik kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini memberi amaran akan membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor sekiranya kemelut politik di negeri itu terus berpanjangan yang akhirnya menyusahkan rakyat.


BACA: Kemelut politik berlanjutan, Sultan Johor beri amaran bubar DUN



Kenyataan media bersama yang dikeluarkan PH Johor