Beberapa kejutan yang berlaku hari ini menimbulkan pelbagai persoalan dan reaksi.

Ia bermula dengan paparan muka hadapan akhbar lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia yang memaparkan tajuk ‘Semua diminta bertenang’. Berbeza dengan saranan tajuk berkenaan, ia sebenarnya mempunyai kesan psikologi berbalik bagi banyak pihak sejak awal pagi.

Kontrak Peguam Negara ditamatkan awal

Masih hangat dengan spekulasi rombakan Kabinet akan berlaku, kejutan besar terbit dari Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa yang mengumumkan bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah ditamatkan perkhidmatannya dalam jawatan itu atas ‘sebab-sebab kesihatan’.

Umum mengetahui, Abdul Gani sebelum ini mengetuai pasukan petugas khas pelbagai agensi dalam siasatan berkaitan isu penyalahgunaan dana dan 1MDB.

Jawatan Peguam Negara kini disandang bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sementara itu, Abdul Gani memberitahu sebuah portal berita bahawa beliau langsung tidak tahu mengenai keputusan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara, dan enggan mengulas lanjut.

Kejutan Lebih Besar

Belum reda dengan kejutan pelantikan Peguam Negara baru, tumpuan petugas media dan orang ramai terus beralih ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Dalam sidang media yang berlangsung pada 1.50 petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rombakan kabinet itu turut melibatkan pelantikan baru tujuh menteri dan sembilan timbalan menteri.

INFOGRAFIK: Rombakan Kabinet Malaysia 2015 - Siapa baru, siapa digugurkan

Najib berkata, langkah menggantikan Muhyiddin satu keputusan yang amat sukar, namun terpaksa dilakukan demi memastikan Jemaah Menteri dapat bergerak sebagai ‘pasukan jitu’.

Banyak pihak menyifatkan ucapan berapi Muhyiddin ketika penggulungan Mesyuarat UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad antara punca nama beliau tidak lagi dalam barisan utama pentadbiran Najib.

Dalam ucapan tersebut, Muhyiddin menggesa persoalan berkaitan syarikat pelaburan Negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) segera dijawab agar rakyat lebih memahami, selain menyarankan agar laporan awal dalam siasatan isu itu dapat didedahkan kepada umum.

Apa akan jadi dengan siasatan 1MDB oleh PAC?

Sementara itu, dalam senarai kabinet baharu, Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Nur Jazlan memberi reaksi, beliau akan melepaskan jawatan selaku Pengerusi PAC dan semua prosiding yang diatur pada Ogos termasuk 1MDB akan ditangguhkan sehingga barisan PAC baharu dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Sabtu lalu, beliau berkata bahawa PAC telah menetapkan 4, 5 dan 7 Ogos untuk bertemu bekas-bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan 17 dan 18 Ogos dengan beberapa bekas pengarah.

Selain Nur Jazlan, ada tiga lagi anggota PAC turut diberi jawatan Kabinet iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan).

Sementara itu, presiden IDEAS Tunku 'Abidin Muhriz berkata Nur Jazlan digugurkan daripada menganggotai
Majlis IDEAS memandangkan beliau kini sebahagian daripada anggota kuasa eksekutif kini.

"Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada beliau di atas perkhidmatan and sokongan beliau dan kami mengucapkan selamat maju jaya dengan jawatan baru beliau," beliau berkata dalam satu kenyataan media.

FOTO: Rombakan Kabinet: Sidang media PM