Kementerian Pengangkutan menegaskan Kabinet meluluskan konsep perkhidmatan e-hailing motosikal di negara ini namun bukannya memberi kelulusan kepada syarikat perkhidmatan Gojek sahaja.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata ramai yang keliru dengan isu ini dan beranggapan Kabinet hanya memberikan kelulusan kepada syarikat rangkaian pengangkutan yang berpusat di Jakarta, Indonesia tersebut.

Loke berkata mana-mana syarikat operator perkhidmatan, termasuk Dego Ride, boleh beroperasi selepas kerangka undang-undang mod pengangkutan tersebut diluluskan Parlimen.

“Ramai yang masih keliru dengan isu ini. Kabinet bukan memberikan kelulusan kepada Gojek, tetapi memberi kelulusan kepada konsep perkhidmatan e-hailing motosikal.

“Kalau kami sudah memberikan kebenaran (kelulusan oleh Parlimen) kepada perkhidmatan ini, kami mengalu-alukan mana-mana syarikat yang ingin beroperasi untuk menyertai.

“Bagaimanapun, mereka perlu mengikut kerangka undang-undang yang kami sediakan,” kata Loke selepas melancarkan buku berjudul ‘My Journey by Bus’ di Rex KL pada Selasa.


Beliau juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana syarikat perkhidmatan teksi motosikal yang ingin beroperasi di negara ini selepas undang-undang diluluskan.

BACA: Grab Malaysia siap sedia untuk khidmat penumpang motosikal

Bagaimanapun, apabila kerangka undang-undang tersebut siap, kementeriannya masih memerlukan tempoh percubaan untuk menguji sistem perkhidmatan tersebut.

BACA: K'jaan utamakan keselamatan dalam pelaksanaan Gojek - Anthony Loke

BACA: Lapan garis panduan dicadang pastikan Gojek lebih selamat - MSOSH

“Kementerian saya diberikan tempoh sebulan untuk merangka kerangka undang-undang itu.

“Kami memerlukan tempoh percubaan untuk uji perkhidmatan itu kerana jika kami ingin meminda undang-undang, kami perlu membahas isu tersebut di Parlimen.

“Ini kerana terdapat keperluan untuk meminda akta pengangkutan yang berkaitan termasuk Akta Pengangkutan Darat dan akta-akta yang lain,” tambahnya.

Sebelum ini, isu Go-Jek menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat Malaysia susulan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat untuk memperkenalkan perkhidmatan awam tersebut di negara ini.