Kahwin kanak-kanak: Pendidikan, pembangunan sosial kunci penyelesaian

Kahwin kanak-kanak: Pendidikan, pembangunan sosial kunci penyelesaian
Kanak-kanak berusia 11 tahun bersama ibu bapanya di rumah mereka ketika ditemui Astro AWANI awal bulan ini.
KUALA LUMPUR: Isu perkahwinan kanak-kanak merupakan masalah yang berpunca dari kepayahan dan kemiskinan hidup dan hanya boleh diselesaikan dengan usaha berterusan kerajan dan masyarakat bagi mengimbangi ketidaksamaan sosio-ekonomi.

Pakar ekonomi Prof Dr Madeline Berma berkata, kes sedemikian sering berlaku di kawasan pedalaman melibatkan golongan miskin, menunjukkan bahawa ekonomi memainkan peranan yang penting.

Bagaimanapun, katanya, sebelum masyarakat terus mengadili golongan yang memilih untuk mengahwinkan anak-anak pada usia awal, mereka harus cuba memahami keadaan mereka.

"Kita harus cuba memahami bagaimana mereka berfikir, dan mencari jalan penyelesaian yang mampan.

"Jika kita gagal melihat masalah ini dari sudut pandang yang adil, kita berdepan risiko membazirkan masa berbalah dan tidak mencapai apa-apa penyelesaian,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurutnya, ada pelbagai faktor yang menjadi punca kes perkahwinan kanak-kanak bawah umur berlaku di Malaysia, antaranya, keadaan ekonomi.

"Keluarga miskin yang tinggal di pedalaman, dengan bilangan anak yang ramai sering melihat anak perempuan sebagai beban, menyebabkan ada ibu bapa yang akan mengahwinkan anak mereka awal.
"Ini kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai pelajaran yang tinggi dan terpaksa bergantung kepada pekerjaan dengan gaji rendah, menyebabkan mereka terperangkap.

"Putaran kemiskinan ini berterusan dan mobiliti sosial mereka berada di tahap yang sama. Mereka berkahwin kerana ia menyenangkan dalam konteks jangka masa pendek. Golongan muda mereka tidak ada cita-cita yang tinggi," kata Madeline.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi kes seorang lelaki berusia 41 tahun di Kelantan yang mengahwini seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Thailand bulan lalu.

Pada 9 Julai lalu, peraih getah yang mengahwini budak itu didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di Gua Musang atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran. 

Madeline menjelaskan, kerajaan harus mempunyai kemahuan politik untuk menyelesaikan isu ketidakseimbangan sosio-ekonomi negara yang lebih sukar dan mengambil masa.

BACA: Tiada unsur jenayah dalam perkahwinan budak 11 tahun di Gua Musang - Polis

BACA: KPWKM pantau perkembangan isu perkahwinan bawah umur


BACA: 'Kami suka sama suka' - suami tidak akan cerai isteri bawah umur

Memetik Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), perkahwinan kanak-kanak disifatkan satu kesan toksik kemiskinan dan diskriminasi gender.

Menurut laporan pihak itu, kebanyakan ibu bapa yang miskin percaya bahawa perkahwinan boleh mengubah hidup anak-anak mereka agar menjadi lebih baik.

Terdapat juga yang percaya bahawa perkahwinan awal boleh melindungi anak-anak mereka dari penderaan dan serangan seksual.

BACA: Nikah budak 11 tahun: 'Saya ikat sahaja, belum tinggal bersama'

BACA: Nikah budak 11 tahun: Pasangan diminta hadir di mahkamah

BACA: Isteri terkilan suami kahwini kanak-kanak 11 tahun


Madeline menjelaskan bahawa usaha menghapuskan perkahwinan kanak-kanak boleh bermula dengan pendidikan dan usaha sama di antara kerajaan dan masyarakat dalam meningkatkan taraf hidup golongan miskin.

"Mereka memerlukan pendidikan berkualiti, pekerjaan berkualiti dan peluang-peluang yang boleh mengelakkan mereka dari terpaksa mengahwinkan anak mereka. Tak cukup dengan beri bantuan wang tunai, sebagai contoh," katanya.

Pada masa sama, beliau menambah, undang-undang sedia ada harus diperkuatkan bagi memastikan golongan yang tidak dapat melindungi diri mereka sendiri terlindung dari eksploitasi oleh sesetengah pihak lain.