SEBARANG cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai gojek dalam negara kita memerlukan satu kajian yang mendalam sebelum ianya ingin dilaksanakan. Walaupun ia dilihat dapat menjadi salah satu sumber pendapatan khususnya kepada mat-mat motor dan golongan muda dalam negara kita, namun kita tidak seharusnya terburu-buru untuk melaksanakan sistem perkhidmatan berkenaan dalam negara kita. Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum kita ingin melaksanakan perkhidmatan berkenaan seperti faktor perundangan, faktor insuran serta yang paling penting faktor keselamatan pengguna jalan terutamanya pengguna motosikal itu sendiri.

Pada awal bulan Januari 2019 yang lalu, kita telah didedahkan dengan statistik kemalangan jalan raya yang berlaku sepanjang tahun 2018 oleh pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di mana statistik terbabit menunjukkan lebih 60 peratus daripada 6,742 kes kemalangan maut lalu lintas yang berlaku melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Statistik ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa kenderaan seperti motosikal memiliki risiko kemalangan maut yang agak tinggi jika dibandingkan dengan jenis-jenis kenderaan yang lain dalam negara kita. Tidak dapat dinafikan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai gojek telah mendapat tempat di kalangan beberapa buah negara termasuk di Indonesia sendiri, namun perlukan kita mengambil contoh dari negara lain untuk dilaksanakan dalam negara kita berdasarkan pendedahan yang telah dilakukan oleh pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) melalui statistik kemalangan jalan raya yang telah dikeluarkan oleh mereka baru-baru ini?


Kerajaan harus pastikan pembawa teksi motosikal berkenaan diberi latihan mencukupi dan benar-benar layak


Kita juga harus mengambil kira tahap keselesaan penunggang motosikal. Dengan keadaan cuaca dalam negara kita yang tidak menentu kadang-kadang panas dan kadang-kadang hujan, adakah para penunggang motosikal akan berasa selesa menaiki motosikal dalam keadaan cuaca sebegini. Bagaimana pula dengan risiko berlakunya kegiatan jenayah seperti rompakan, kecurian serta masalah gangguan seksual ketika menunggang motosikal dengan individu yang tidak dikenali langsung? Bagaimana pula dengan aspek pencemaran alam sekitar melalui pelepasan asap motor, adakah dengan melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal ataupun gojek ini dapat mengurangkan kadar pencemaran udara dalam negara kita. Kita juga tidak harus lupa usaha giat yang sedang diambil bagi mengurangkan kadar trafik di jalan-jalan raya yang kini penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Dengan adanya perkhidmatan teksi motosikal ini, jalan-jalan raya dalam negara dijangka akan menjadi lebih sesak sekali gus meningkatkan lagi risiko kemalangan jalan raya.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak yang terlibat membuat satu bentuk kajian penyelidikan yang lebih mendalam terhadap cadangan untuk memperkenalkan teksi motosikal ataupun gojek dalam negara kita dengan memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal itu sendiri serta keselamatan semua pengguna jalan raya yang ada dalam negara kita. Segala aspek kelebihan dan kelemahan perkhidmatan teksi motosikal ataupun gojek harus diteliti sebelum sebarang kata muktamad ingin diambil terhadap perlaksanaannya dalam negara kita.

Sekiranya pihak kerajaan ingin melaksanakan juga perkhidmatan teksi motosikal ataupun gojek ini dalam negara kita, pihak kerajaan harus memastikan pembawa teksi motosikal berkenaan diberi latihan yang mencukupi serta memastikan mereka terdiri daripada individu yang benar-benar layak membawa motosikal untuk tujuan perkhidmatan teksi motosikal.

BACA: Gojek peluang buat mat motor jana pendapatan - Syed Saddiq

Pihak kerajaan juga harus meminda beberapa peruntukan undang-undang jalan raya sedia ada dalam negara kita seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi memastikan perkhidmatan teksi motosikal sah untuk disediakan dan digunakan dalam negara kita. Pihak kerajaan juga harus memastikan pihak-pihak yang berkaitan dengan industri terbabit menyediakan insuran yang sepatutnya bagi melindungi pembawa serta penumpang motosikal. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga perlu melakukan proses pemantauan secara konsistan serta kerap terhadap penyedia perkhidmatan teksi motosikal terbabit supaya tiada mana-mana pihak yang melanggar sebarang peraturan sedia ada atau sebarang jenis peraturan yang bakal disediakan kelak.

Satu bentuk peraturan terperinci juga perlu dibentuk khusus untuk mengawalselia pengunaan perkhidmatan teksi motosikal dalam negara kita supaya semua pihak yang terlibat dengan industri perkhidmatan berkenaan terutamanya pihak pelanggan perkhidmatan dapat ketahui hak-hak mereka dengan lebih jelas serta langkah yang seharusnya diambil oleh mereka sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.