Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan Polis Persekutuan Australia (AFP) tidak mengambil tindakan terhadap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd sekiranya beliau benar didapati bersalah.

Sebaliknya, kata beliau tindakan menghebahkannya menerusi media Austalia bahawa Wan Ahmad Najmuddin disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seolah-olah seperti mahu memalukan Malaysia.

"Kalau Australia merasakan perkara itu satu jenayah, ambillah tindakan. Kenapa tak ambil tindakan (tetapi) hanya menggunakan media untuk memalukan Malaysia.

"Saya tak tahu kenapa kerajaan Australia merasakan ini melibatkan pengubahan wang haram tetapi dedahkan dalam media. Kalau rasa dia bersalah, dakwa lah dia," katanya..

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Kempas, di sini, hari ini..

Sebelum ini, akhbar Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan polis Australia merampas sejumlah AUD$320,000 (RM971,728) dalam akaun bank milik Wan Ahmad Najmuddin Mohd kerana disyaki hasil penggubahan wang haram.

BACA: Tiada kesalahan, Wan Ahmad Najmuddin hanya jual rumah - KPN

Akhbar itu turut memetik kenyataan Allaudeen Abdul Majid daripada unit integriti polis yang mengatakan kejadian ini adalah disebabkan terlepas pandang dan tiada niat jahat untuk melanggar mana-mana undang-undang termasuk di Australia.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan bahawa siasatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati wang tersebut datang dari sumber yang sah.

Menurutnya, hasil siasatan Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada 2016 mendapati wang tersebut diperoleh hasil daripada penjualan rumah Wan Ahmad Najmuddin di Shah Alam yang pada waktu itu berharga RM700,000 (AUD 260,770).