Pembinaan bangunan Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Kampong Bharu akan menjadi lambang kemegahan seni bina yang mempamerkan ciri-ciri Istana Melayu.

Setiausaha Agong, DPMM, Amirhamzah Karim berkata, ia tanda penyambungan legasi Melayu yang semakin dilupakan kini.

"MAS dan DPMM telah mengambil suatu inisiatif untuk bergabung bagi membentuk Kampong Bharu sebagai satu pembangunan yang boleh memodenkan pemikiran dan kehidupan serta budaya Melayu.

"Dua badan inilah yang membolehkan integriti Melayu dikekal dan dibawa ke masa hadapan dengan menerusi pembangunan konsepsual dan fizikal.

"Ciri-ciri utama dalam seni bina Melayu bangunan itu kelak termasuk bumbung yang meruncing, rumah panggung, berandah, tingkap yang luas dan loteng," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

BACA: Kampung Baru: Agong sudah perkenan, henti guna sentimen Melayu - Khalid Samad

BACA:
Selesaikan isu pusaka sebelum cerita pembangunan Kampong Bharu - MAS

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Memorandum Persefahaman (MoU) antara DPMM, MAS dan Malaysian Timber Council (MTC) ditandatangani pada Rabu.

Sebagai kawasan yang bermulanya tamadun moden di Kuala Lumpur, Kampong Bharu telah wujud pada lingkungan tahun 1900 untuk menampung beberapa komuniti yang berhijrah dari pelbagai pelosok kepulauan Nusantara.

Setelah 65 tahun bermastautin dan menbangunkan Kampong Bharu, kerajaan Selangor menganugerahkan tanah hak milik kekal kepada penduduk di lokasi berkenaan.

Ini dilakukan memandangkan kebanyakan penduduk telah menjadikan perniagaan sebagai hasil pendapatan mereka apabila Kuala Lumpur berkembang dengan pesat dan pembangunan yang berasaskan perdagangan.

 Gambaran pelukis bangunan baru ibu pejabat MAS dan DPMM yang mempunyai kediaman, dewan dan sekolah agama di Kampong Bharu - Gambar DPMM

Dalam pada itu Amirhamzah menjelaskan, bangunan itu akan mempunyai sebuah dewan serba guna, tabika dan sebuah sekolah agama.

"Selain itu, akan dibina juga tiga pangsapuri lapan sehingga 12 tingkat untuk penempatan sementara bagi penduduk yang terlibat dalam pembangunan berkenaan.

"Bangunan ini juga dibina sebagai titik tanda bagi orang-orang Kampong Bharu menjadikan tempat ini pusat bagi aktiviti-aktiviti perkampungan yang boleh mengeratkan lagi jalinan kejiranan.

"Gerai-gerai sekeliling Kampong Bhru akan diletakkan di bangunan ini supaya penduduk dapat bersama bertanya khabar dan menjalankan aktiviti bersama jiran-jiran setempat," ujarnya.

Katanya, MoU itu diharap mengilhamkan satu perkembangan yang berintigriti, bersepadu dan bertaraf tinggi bagi Kampong Bharu untuk masa kini dan dan akan datang.