Kerajaan memberi jaminan kawasan Kampung Baru akan kekal 100 peratus milik Bumiputera menerusi pelan pembangunan semula Kampung Baru yang akan dibangunkan kelak.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Rosida Jaafar berkata fitnah dan dakyah yang cuba ditimbulkan segelintir pihak apabila kerajaan menghidupkan cadangan pembangunan semula Kampung Baru secara bersepadu adalah tidak tepat.

"Model pembangunan telah siap dan kami mahukan persetujuan 100 peratus daripada penduduk. Jadi saya alu-alukan kedatangan pada sesi townhall bersama penduduk 21 Sept ini yang akan diadakan di Dewan Perdana Felda.

"Setelah bertahun kerajaan cuba bangunkan Kampung Baru, maka pada sesi itu, kami akan selesaikan mengenai isu harta pusaka dan pemilikan," katanya pada program Ruang Bicara di Bernama News Channel pada Rabu.

Beliau berkata pada sesi itu segala persoalan berbangkit akan diselesaikan sekali gus menepis segala usaha membantutkan pelan pembangunan semula Kampung Baru.

BACA: Jangan sampai nama Kampung Baru hilang!

BACA:
Mustahilkah pembangunan Kampung Baru?

"Inilah masa penduduk Kampung Baru perlu bersetuju untuk bangunkan kawasan itu bersama kerajaan, dan saya pasti pelabur asing akan berminat untuk melabur. Jangan takut mengenai isu pemilikan kerana ia tetap milik penduduk hanya modal sahaja dari orang luar. Pembangunan ini akan dinikmati bersama," katanya.

Menurutnya, objektif utama sesi pertemuan itu diatur bertujuan mendapatkan maklum balas, persetujuan dan pandangan serta mengetahui apa yang diinginkan pemilik dan pewaris berhubung pembangunan di kawasan itu.


Mengenai Projek Taman Warisan Melayu bagi mengekalkan identiti Melayu di kampung yang berusia hampir 120 tahun dan terletak di tengah kota raya itu, Rosida berkata sebanyak 11 rumah warisan di Kampung Baru bakal dibina semula dan dipulihara.

Katanya, perusahaan makanan terkenal juga akan dipindahkan ke kawasan berkeluasan sekitar 10 hektar itu bagi memberi peluang kepada pelancong menikmati suasana perkampungan Melayu.

"Kedai terkenal sedia ada seperti Nasi Lemak Wan Jo, kedai-kedai tomyam seperti Suraya akan ditempatkan di bangunan lebih moden di Taman Warisan yang lebih tersusun dan moden. Tetapi kalau ada kedai yang ada nilai warisan, ia mungkin akan kekal di lokasi asal," kata Rosida.

Mengulas mengenai pendekatan promosi, beliau menjelaskan bahawa kemudahan pengangkutan akan ditambah baik selain membina laluan pejalan kaki bagi memudahkan orang ramai termasuk pelancong untuk ke kawasan itu.

"Ketika ini kami tumpu kepada pembangunan infrastruktur seperti memperkukuh pengangkutan awam dan laluan pejalan kaki. Promosi akan dilaksanakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang ditubuhkan pada 2011," katanya.

Mengakui bahawa pihaknya melalui pelbagai cabaran, Rosida berharap pembangunan kampung tradisi itu akan menemui jalan penyelesaian dan penduduk memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk merealisasikan projek pembangunan itu.

-- BERNAMA