Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya dalam kejadian di sebuah rumah di Kangar pada Rabu.

Mangsa, Muhammad Rayyan Hidayat sebelum itu dibawa oleh pasangan terbabit ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar pada malam Selasa.

Ketika tiba di HTF, pasangan itu mendakwa kanak-kanak malang tersebut terjatuh di bilik air hingga tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada 4.07 pagi Rabu.

Kanak-kanak enam tahun ini meninggal dunia dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati, terdapat banyak kesan lebam pada tubuh mangsa yang dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

"Mangsa turut mengalami kecederaan dalaman selain pecah usus yang menjadi punca kematian mangsa," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Susulan itu kata Azisman, polis menahan ibu kanak-kanak malang itu yang berusia 31 tahun.

Manakala menurut beliau teman lelakinya yang berusia 26 tahun dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau yang berasal dari Kedah turut ditahan.

Katanya, pasangan itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar pada pukul 8 malam tadi.

Difahamkan, kedua-dua suspek mempunyai hubungan sejak sekian lama dan bersekedudukan di rumah sewa wanita itu di Abi Tok Hashim, Kangar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.