Operasi mencari dan menyelamat (SAR) jurutera warga Australia, Gaskell Andrew James, 26, yang hilang di Taman Negara Mulu sejak 20 Okt lalu diteruskan hari ini dengan memperluas kawasan pencarian dan bilangan anggota.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Zulbada Alior berkata operasi yang masuk hari ketiga hari ini ditambah kepada 34 orang berbanding 22 orang semalam.

"Lokasi pencarian kini meliputi Lagang Cave, Moon Milk Cave, Stonehorse Cave dan Mulu Summit," katanya.

Pencarian hari ini turut disertai oleh bapa saudara mangsa, Brian Giles.

Operasi hari ketiga pada hari ini telah  bermula pada jam 8 pagi tadi disertai oleh seramai 34 orang anggota mencari dan menyelamat  . - Foto JBPM
Sementara itu, operasi hari ini turut mengekalkan pencarian mengikut kumpulan iaitu pecahan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan satu terdiri daripada 10 orang yang lokasi pencarian mereka adalah di kawasan Lagang Cave dan Moon Milk Cave.

Manakala untuk kumpulan kedua pula terdiri daripada lapan orang yang mencari di kawasan Stonehorse Cave yang memakan masa perjalanan selama 40 minit dari pejabat pengurusan Taman Negara Mulu.

Operasi hari ni turut mengekalkan pencarian mengikut kumpulan iaitu pecahan kepada tiga kumpulan. - Foto JBPM
Manakala untuk kumpulan SAR ketiga pula, ini terdiri daripada 6 orang ahli akan mencari di kawasan Summit Mulu yang terletak 24 kilometer dari pusat operasi di pejabat pengurusan Taman Negara Mulu.

Kumpulan SAR ketiga telah bergerak pada jam 11 pagi tadi bermula di pejabat SFC Mulu menuju ke Camp 1, Camp 2, Camp 3 dan Camp 4 seterusnya terus ke Summit Mulu menggunakan jalan darat.

Laporan kehilangan dibuat rakan mangsa, Kalang Anak Baling di Balai Polis Pusat Miri.

Mesej terakhir daripada mangsa yang diterima pada 20 Oktober lalu, memaklumkan bahawa mangsa akan pulang pada keesokan harinya, iaitu Sabtu lalu.

Namun sejak itu mangsa tidak dapat dihubungi.