Kerajaan diminta mengambil langkah yang sewajarnya dalam menjaga kebajikan dan keselamatan penjawat awam yang terpaksa bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Adnan Mat, berkata keselamatan dan kebajikan petugas-petugas kerajaan serta ahli keluarga mereka perlu diberi perhatian.

“Sokongan dan kerjasama daripada orang awam dan rakyat dalam memahami tugas warga penjawat awam juga diperlukan ketika negara sedang berhadapan dengan krisis seperti COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kerajaan, pada Isnin, memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu ini, 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan perintah itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

BACA: COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac - PM

BACA: COVID-19: Jangan panik, patuhi Perintah Kawalan Pergerakan - Muhyiddin

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira berkenaan kebajikan Pekerja Sambilan Harian ekoran status mereka yang mungkin turut terjejas susulan penguatkuasaan sekatan itu.

“Dengan berkuatkuasanya sekatan ini bermakna mereka tidak bekerja dan hilang pendapatan. Jadi, Cuepacs mohon mereka dibantu sebagaimana bantuan kepada pekerja yang bercuti tanpa gaji,” tambah beliau.

Mengulas sektor-sektor yang turut terjejas berikutan sekatan itu, Adnan berharap, industri penerbangan dapat memberi kelonggaran kepada mereka-mereka yang telah membuat tempahan perjalanan untuk menukarnya kepada tiket terbuka dan menetapkan tarikh baharu, bukan membatalkan tanpa pemulangan wang.

“Ia sedikit sebanyak boleh membantu meringankan kerugian rakyat yang telah membuat tempahan tiket sebelum ini.

“Penyedia perkhidmatan pelancongan dan perhotelan tempatan juga perlulah bertimbang rasa sekiranya terdapat tempahan yang terpaksa dibatalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.