Tutup

Kebakaran HSA: Menteri Kesihatan akan menghadap Sultan Johor

Kebakaran HSA: Menteri Kesihatan akan menghadap Sultan Johor
Tunku Ismail ketika melawat HSA baru-baru ini. Facebook HRH Crown Prince of Johor
PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau dijadualkan untuk mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini, berkaitan kerja-kerja membaiki Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terjejas akibat kebakaran tiga tahun lepas.

"Saya akan berpeluang untuk memaklumkan kepada baginda, mengenai usaha kami dan juga kelewatan sejak 2016 (di bawah pentadbiran dahulu) ... dan berapa banyak (kerajaan sekarang) telah belanjakan dan lain-lain lagi," katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku panduan kesihatan mental pada Selasa.
Menteri itu berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai lawatan Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, ke hospital tersebut baru-baru ini.

Tunku Ismail telah menyuarakan perasaan dukacita baginda di Facebook mengenai apa yang beliau rasakan sebagai kegagalan dalam usaha kerajaan persekutuan membaiki semula pusat rawatan intensif HSA, berikutan kebakaran tersebut.
BACA: Wad ICU Hospital Sultanah Aminah terbakar, 6 meninggal dunia

BACA: HSA antara hospital terbaik di Malaysia - KP Kesihatan

 

Menjawab satu soalan, Dr Zulkefly berkata, kabinet telah memutuskan penemuan siasatan mengenai kebakaran HSA akan didedahkan.

"Kami telah membuat keputusan untuk mendedahkan penemuan ini, dan saya rasa tidak lama lagi, anda akan boleh ketahui penemuan pada kejadian kebakaran HSA itu," katanya mengenai kebakaran pada 25 Okt yang meragut enam nyawa.

-- BERNAMA