Cuaca panas kering mutakhir ini telah mengakibatkan kawasan belukar dan hutan tanah gambut mudah terbakar, termasuk pada waktu malam dan awal pagi.

Terbaru, dalam kejadian kira kira jam 2:30 pagi ini, kawasan belukar seluas 0.1 hektar di Kampung Jambu Bongkok di sini terbakar serentak di beberapa lokasi.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal api dari merebak ke sepanjang laluan antara Jambu Bongkok dan sempadan Merchang.

Menurut ketua operasi, Mohd Kamarulzaman Mohd Rafi, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun bersama enam anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan orang awam dan mengambil masa kira kira 20 minit untuk memadam kebakaran.

Katanya, jumlah laporan kes kebakaran hutan meningkat sejak minggu lalu dengan purata empat kes sehari.

"Kawasan yang melibatkan kebakaran di Dungun sekarang ini ada banyak tempat, seperti di Rantau Abang, Kampung Balai Besar, Kampung Batu 7 dan Kampung Tok Kah, melibatkan kebakaran gambut.

"Keluasannya dianggarkan, antara tiga dan enam hektar," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Kamarulzaman meminta penduduk di kawasan sekitar mengelak dari melakukan pembakaran terbuka serta membuang puntung rokok secara cuai yang boleh mengundang bahaya kebakaran hutan dan belukar di kawasan terbabit.

Sebelum ini, kawasan hutan gelam dan belukar seluas lebih 13 hektar di daerah Kuala Nerus turut dilaporkan musnah terbakar sejak 3 Mac lalu, dipercayai akibat cuaca panas dan kering.

Ketua BBP Kuala Nerus, Pegawai Bomba Tinggi Yusmizan Yusof, berkata ia melibatkan hutan gelam di Kampung Alur Jambu, Kuala Nerus, dan belukar di Jalan Gong Badak, Taman Desa Tanjung.

Bulan lalu, kebakaran hutan turut dilaporkan di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, di mana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berjaya memadamkan 70 peratus daripada 60 hektar kawasan yang terbakar sejak 25 Februari.

Sementara itu, di Bachok, Kelantan, lebih empat hektar kawasan ladang sawit tanah gambut dan belukar di sekitar Beris Lalang dilaporkan terbakar susulan fenomena cuaca panas sejak 10 Februari.