Keputusan mengenai kedudukan Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Datuk Abibullah Samsudin, hanya akan diketahui dalam masa sehari dua ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Prof Dr Abdul Ghafar Ismail berkata satu siaran akhbar akan dikeluarkan atau sidang akhbar mungkin akan diadakan oleh Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu bagi memperjelaskan isu yang melibatkan pegawai kanan yayasan itu.

"Tunggu sehari dua ini. Insya-Allah... saya tidak boleh menyatakan sehingga siaran akhbar dilakukan atau mungkin lembaga pengarah akan memanggil media sekali lagi untuk menjelaskan keadaan ini," kata beliau kepada pemberita selepas Program Inspirasi Ramadan YAPEIM peringkat negeri Johor di Masjid Jamek Haji Ahmad Shah, Kampung Rimba Terjun, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kedudukan Abibullah, sama ada masih bertugas atau tidak.

Dua hari lepas, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa kononnya Abibullah, mempengaruhi kakitangan YAPEIM pada pilihan raya umum lepas.

BACA: Salah laku dan kecuaian dikenal pasti dalam pentadbiran YaPEIM

Ketika ditanya sama ada pihak Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM telah menetapkan tindakan tatatertib ke atas Abibullah, beliau menjelaskan beberapa tindakan telah diambil tetapi bukan tatatertib termasuk pembentukan satu jawatankuasa khas audit dalaman sejak November lepas, bagi menangani isu berkenaan, berdasarkan laporan dari PricewaterhouseCoopers (PWC).

"Kita ahli lembaga pengarah sedia maklum bahawa kakitangan YAPIEM adalah berjawatan tetap jadi segala tindakan haruslah melalui saluran tertentu, proses tertentu termasuk garis panduan yang diikuti.

Dan garis panduan yang diikuti ini harus telus dan jelas supaya kita tidak membuat satu keputusan yang boleh menyebabkan seorang individu itu teraniaya atau mungkin akan disabitkan kesalahan tanpa ada apa-apa bukti," kata Abdul Ghafar.

Terdahulu, program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

-- BERNAMA