Tutup

Kedudukan kewangan Sarawak semakin kukuh - Abang Johari

Kedudukan kewangan Sarawak semakin kukuh - Abang Johari
Menurut Abang Johari, pengukuhan kewangan negeri Sarawak terbukti dengan rizab yang cukup sihat dan pemilikan sumber hasil baharu kepada negeri itu. - Gambar fail
BINTULU: Kerajaan negeri Sarawak membuktikan kedudukan kewangan negeri semakin kukuh, sekali gus menangkis dakwaan bahawa Bumi Kenyalang itu bakal muflis dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata, pengukuhan itu terbukti dengan rizab yang cukup sihat dan pemilikan sumber hasil baharu kepada Sarawak.
Malah, tegas beliau, selama 17 tahun berturut-turut pengurusan kewangan Sarawak menerima “clean bill of health” daripada Ketua Audit Negara dan credit rating yang memberangsangkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa Moody’s dan Standard and Poor’s.

“Selain itu baru-baru ini Ketua Audit Negara telah memberi pengiktarafan “cemerlang” kepada 24 agensi negeri dari segi prestasi pengurusan kewangannya.
“Prestasi pelaburan asing dan tempatan Sarawak adalah antara yang menduduki tempat teratas dalam kalangan negeri-negeri.

“Di Bintulu ini sahaja, khususnya di Samalaju, Sarawak telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM 13.76 bilion yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 11,000 orang dan keseluruhan nilai pelaburan bagi Sarawak dari tahun 2016 hingga 2018 ialah RM23.7 bilion,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Hari Sarawak, di sini hari ini.

Menurut Abang Johari, Sarawak juga mempunyai sumber kewangan alternatif iaitu melalui Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

Sumber berkenaan, katanya, bagi membiayai projek bekalan air, bekalan elektrik, RECODA, Coastal Road, Second Trunk Road dan Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA).

Sementara itu, Abang Johari berkata, sebuah loji methanol pertama milik Sarawak juga dijangka dilancarkan di Tanjomg Kidurong pada September nanti.

“Sudah pasti projek ini akan terus memacu ekonomi tempatan di Bintulu ini dan memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak Sarawak,” katanya lagi.

Justeru, katanya, kedudukan ekonomi Sarawak perlu sentiasa kukuh bagi negeri itu mampu menarik minat para pelabur, di samping menggalakkan aktiviti penjanaan ekonomi domestik.

“Dengan perbelanjaan umum yang besar dan berhemah dalam tempoh dua tahun ini untuk pembangunan infrastruktur, Sarawak yakin dapat meransang pertumbuhan ekonominya antara lima dan enam peratus untuk membolehkan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Dianggarkan 10,000 penduduk Bintulu dan sekitar hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Sarawak.

BACA: Jangan terpengaruh anasir cuba pecah belah Sarawak - Abang Johari


Tag: Sarawak, kewangan kukuh, Ketua Menteri, Abang Johari Openg



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.