Polis menahan 21 individu setakat ini, susulan dua kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya, pagi ini dan semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, tangkapan terbaru menyaksikan dua lelaki ditahan lewat petang semalam manakala dua lelaki lagi ditahan awal pagi tadi.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan di sekitar kawasan kuil tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan 17 lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan berikutan insiden di kuil itu pada awal pagi Isnin.

Menurut Mazlan, dalam rusuhan yang tercetus awal pagi tadi seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Subang Jaya mengalami kecederaan.

Anggota itu diserang ketika sedang memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kenderaan di luar kawasan kuil berkenaan.

Mazlan berkata, sehingga hari ini juga, sebanyak 23 kenderaan telah dibakar dan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat dirosakkan oleh kumpulan perusuh.

Menceritakan mengenai kronologi kekecohan terbaharu yang berlaku di kuil itu, Mazlan berkata pada pukul 10.57 malam tadi dua buah kenderaan telah dibakar berhampiran kuil dan pada 1.10 pagi sebuah kenderaan lain ditarik keluar dari kawasan kuil serta dibakar di tepi jalan raya.

"Sejurus selepas itu pada 1.20 pagi sebuah kenderaan lain turut dikeluarkan dari kawasan kuil serta dibakar. Dalam keadaan itu, seorang anggota JBPM yang sedang memadam kebakaran telah mengalami kecederaan akibat diserang dan beliau kini sedang dirawat di hospital.

"Sejurus selepas kejadian di kuil pada 2 pagi, kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi kuil iaitu di One City Mall, kumpulan ini telah memecahkan cermin-cermin di bangunan itu, rosakkan sebuah bas, sebuah kereta dan sebuah van yang selepas itu dibakar, selain sebuah motosikal dan beberapa peralatan di showroom di pusat membeli belah itu turut dirosakkan," katanya.

Menurut Mazlan, kekecohan yang berlaku di One City Mall masih tiada tangkapan setakat ini, namun pihaknya akan mencari individu bertanggungjawab secepat mungkin berdasarkan maklumat yang diterima.

Beliau berkata pihaknya juga mempunyai petunjuk mengenai dalang kekecohan itu, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Mazlan berkata kes disiasat di bawah pelbagai undang-undang berkaitan termasuk khianat, pencerobohan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau dalam pada itu memberi amaran kepada pihak-pihak yang masih berdegil supaya berhenti mengambil tindakan tidak mengikut lunas undang-undang dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

"Kenyataan-kenyataan tidak sewajarnya telah dikeluarkan oleh pihak berkenaan dan ini telah timbulkan kegusaran, saya harap pihak-pihak berkenaan hentikan kenyataan yang boleh menganggu ketenteraman awam. Berilah kenyataan yang kita sama-sama boleh pelihara ketenteraman awam di kawasan itu.

"Keadaan masih terkawal, kita ada elemen-elemen kita di sana seperti FRU (pasukan simpanan persekutuan) namun begitu, kadang-kadang kita dibanjiri oleh mereka dari sekitar daerah berdekatan, itu yang buatkan keadaan ramai dan banyak orang di satu kawasan," katanya.

Ditanya sama ada pihak polis akan menutup laluan di sekitar kuil berkenaan, Mazlan tidak menolak kemungkinan itu, namun akan membincangkannya dengan pihak berkaitan terlebih dahulu berikutan ia adalah laluan utama yang digunakan oleh penduduk sekitar.

Mazlan turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian rusuhan itu dan suspek terlibat supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Hotline IPK Selangor di talian 012-6009999.