Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang mengkaji semula dasar pemberian lesen bot perikanan laut dalam susulan pihaknya mendapati terdapat sebilangan pemiliknya melanggar peraturan
perikanan negara dengan menjual hasil tangkapan ke negara jiran.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sudah tiba masanya pemegang-pemegang lesen itu dipertanggungjawabkan kerana mereka telah diberi keizinan menangkap khazanah negara dan sewajarnya membawa pulang tangkapan mereka supaya rakyat negara ini mendapat manfaat selain harga ikan menjadi lebih murah.

"Saya akan tengok secara terperinci tentang dasar terutama pemberian lesen-lesen laut dalam yang pada suatu ketika dahulu adalah relevan.

"Peringkat awalnya kita beri lesen itu agar ia dapat berkembang di negara ini dengan cara mereka pergi menangkap ikan dan mendaratkan ikan dalam negara ini.

"Sekarang ini, timbul isu ikan ini tidak didaratkan dalam negara kita kerana mereka lebih berminat menjual ikan ke negara jiran yang mempunyai nilai mata wang yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Fiesta Perikanan 2015 di perkarangan Akademi Perikanan Malaysia, Chendering di sini pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Datuk Azizan Mohamad Sidin, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad.

Menurutnya harga diesel di negara ini yang tidak lagi murah juga merupakan antara faktor ramai pemilik bot laut dalam sudah berkurangan datang berlabuh dan mendaratkan ikan di negara ini.

Ahmad Shabery berkata pihaknya turut mendapati terdapat pemilik bot memajak atau menyewakan permit dan lesen mereka kepada nelayan warga asing untuk menangkap ikan di perairan negara sebelum menjual sebahagian tangkapan ikan ke tempat lain.

"Jadi ini juga antara perkara yang perlu dilihat dan dapatkan data yang terperinci. Sekiranya ia berterusan, kita mesti menghentikan ia dahulu dan kemudiannya barulah kita lihat kepada kegiatan yang bersifat pencerobohan.

"Kalau kita nak (asyik) fikir bertindak, (harus diingatkan) penguatkuasaan memakan kos yang sangat tinggi," katanya.

Menurutnya agensi terlibat seperti Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih terdapat kekangan dalam pengerahan aset bagi melakukan operasi pemantauan kerana negara ini mempunyai pantai yang panjang.

Sementara itu dalam usaha menangani masalah pencerobohan nelayan asing mengaut perikanan negara, pihaknya berpendapat suatu dasar yang bersifat pencegahan mesti dilihat secara serius antaranya menenggelamkan kapal-kapal penceroboh.

"Sebelum ini pernah ada bot asing yang ditangkap dan ditenggelamkan. Ini adalah pilihan yang saya kira perlu dipertingkatkan pada masa akan datang setelah melihat semua perkara termasuk dalam pengeluaran lesen," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut melancarkan pasukan Sukarelawan Perikanan (Super) peringkat kebangsaan yang menyasarkan keanggotaan 5,000 masyarakat nelayan dari seluruh negara menjelang 2018.