Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk membebaskan Riza Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dari tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan kira-kira AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang didakwa dikeluarkan dari akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Saya kecewa kerana SPRM membuat kenyataan palsu ini," kata Thomas seperti yang dilaporkan The Edge Markets.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pihak pendakwaan memohon untuk pembebasan bersyarat, dan keputusan itu dipersetujui oleh bekas Peguam Negara.

"Saya meletakkan jawatan kira-kira dua bulan yang lalu. Ketika tu, tidak ada sebarang persetujuan untuk membebaskan Riza daripada pertuduhan," kata Thomas.

Tambah Thomas, beliau ketika itu dimaklumkan oleh pegawai khasnya, Rahayu Mamuzaini, bahawa peguam Riza telah membuat kenyataan bertulis kepada Jabatan Peguam Negara mengenai perkara tersebut.

BACA: Kes dana 1MDB, ini senarai pertuduhan dihadapi Riza Aziz

Beliau menyemak kenyataan berkenaan sebelum menyerahkannya kepada Datuk Seri Gopal Sri Ram, pendakwa utama dalam perbicaraan Riza, untuk memeriksa dokumen-dokumen itu.

Namun, Thomas menegaskan tiada perkembangan lain yang berlaku selepas itu berhubung pendakwaan.


Awal hari ini, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram yang disekat dari 1MDB.

Riza dijadualkan untuk membayar kompaun, dengan pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwanya jika tiada penyelesaian yang memuaskan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian, SPRM memaklumkan persetujuan antara pihak pendakwaan dan Riza adalah 'keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui' oleh Thomas.

SPRM memaklumkan kerajaan dijangka mendapat kembali aset luar negara yang terbabit dalam salah guna itu, yang dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta, atau 43.26% dari jumlah yang didakwa dikeluarkan dari 1MDB.

BACA: Riza Aziz dilepas, Malaysia dijangka terima semula RM465.3 juta - SPRM