Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan memang mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu.

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan mengenai perkara itu dan rancangan untuk memulihkan syarikat itu telahpun berjalan.

"Memang kita ada program untuk kurangkan hutang 1MDB. Dan program itu 'viable' (berdaya maju) . Kita (kena) bagi masa. Saya kata kita perlukan masa lebih kurang enam bulan.

"Bukan kita kata hari ini mahu selesai hutang, esok boleh selesai, tidak, tapi ada perancangan," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Paroi di sini hari ini.
Najib berkata, beberapa pihak luar turut menyatakan minat untuk melabur dalam projek 1MDB sekaligus mencerminkan aset syarikat itu sememangnya bernilai.

"Semalam saya berjumpa dengan Emir Qatar (Sheikh Tamim Hamad Al-Thani) yang menyatakan minat dan Qatar Investment Authority juga minat untuk melihat aset 1MDB dan berminat untuk membeli tanah di (projek) Bandar Malaysia dan Duta China ke Malaysia turut menyatakan negaranya berminat," kata Najib.

BACA: Kerana persepsi, semua tentang 1MDB dianggap buruk - Najib

BACA: Apa yang kita tahu tentang siasatan PAC ke atas 1MDB?

BACA: Maklumat siasatan 1MDB tidak akan didedahkan, kata Peguam Negara

Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi menggesa semua pihak agar menunggu siasatan dan laporan penuh Ketua Audit Negara berhubung masalah yang melanda 1MDB yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Katanya, apabila siasatan tersebut selesai nanti, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan dikenakan terhadap sesiapa yang didapati bersalah.

"Saya sebut tunggu dulu Auditor-General punya report. Sekarang sudah keluar interim report, tidak lama lagi final report. Kalau ada apa kesalahan dari segi undang-undang, masa itulah kita ambil tindakan dan kita tidak akan melindungi sesiapa," tegasnya.

Beliau turut menyentuh mengenai pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange di ibu negara oleh Lembaga Tabung Haji yang menurutnya dilakukan mengikut nilai pasaran semasa dan akan menguntungkan lembaga itu.

Katanya, bagaimanapun Tabung Haji terpaksa menjual semula tanah tersebut selepas pembelian itu dikaitkan dengan masalah 1MDB.

"Tapi bila dijadikan isu, saya kata kepada Tabung Haji, tidak mengapalah. (Jika perlu) jual, jual lah. Sebab sekarang ini persepsi melebihi daripada realiti," katanya.

Najib berkata, ekoran persepsi negatif terhadap pembelian tanah itu yang telah memaksa Tabung Haji untuk menjualnya semula.

"Tanah TRX ini di tengah-tengah bandar (Kuala Lumpur) dan di bawah TRX ini nanti akan ada stesen MRT yang terbesar di Kuala Lumpur. Jadi mana-mana pembangunan yang ada MRT di bawahnya, nilai tanah itu akan melonjak tinggi," katanya.