Rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Selasa menyaksikan empat anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.

Selain Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, tiga lain yang menerima lantikan tersebut ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) serta Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Keempat-empat mereka adalah wakil Barisan Nasional dalam jawatankuasa parlimen itu.

Jawatankuasa itu jadi perhatian kerana ia sedang menyiasat dakwaan salah laku dan salah urus tadbir dalam operasi syarikat pelaburan milik negara, 1Malaysia Development Berhaad (1MDB).

1. Apa status empat wakil BN itu dalam PAC?

Keempat-empat anggota PAC daripada BN itu perlu meletak jawatan. Ini kerana Peraturan Mesyuarat 77(4) menetapkan tiada anggota jawatankuasa yang akan dilantik atau dicalonkan sebagai pengerusi atau ahli jawatankuasa itu ketika memegang jawatan sebagai menteri.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee dalam reaksinya kepada pelantikan mereka ke kabinet menyatakan BN perlu mencadangkan calon lain sebagai pengganti.

Nama-nama itu perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilih yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

2. Bilakah empat ahli parlimen yang jadi anggota Kabinet itu boleh diganti?

Lantikan baru anggota PAC sebagai ganti kepada empat anggota kabinet itu perlu dibuat melalui usul di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat akan bersidang semula bermula 19 Oktober ini untuk tempoh enam minggu sehingga 3 Disember.

"Ini bermakna prosiding yang dijadualkan oleh PAC juga perlu ditangguhkan sehingga pelantikan baharu dibuat pada sidang Parlimen akan datang," kata Ronald seperti dipetik oleh Berita Harian.

Nur Jazlan yang turut mengumumkan beliau akan meletak jawatan Pengerusi PAC juga mengatakan hal yang sama -- semua prosiding yang dijadualkan ditangguhkan sehingga barisan anggota baharu dilantik.

3. Apakah prosiding PAC berhubung 1MDB yang terjejas?

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dijadual memberikan keterangan kepada PAC pada 4 Ogos ini. Bekas CEO syarikat itu, Datuk Shahrol Halmi pula ditetapkan memberi keterangan sehari kemudian.

Kehadiran mereka ditunggu-tunggu kerana sebelum ini mereka gagal hadir pada prosiding yang ditetapkan pada 26 Mei lepas.

Alasan yang diberikan ialah ada urusan yang telah ditetapkan sebelumnya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah kemudian menjelaskan Arul Kanda menangguhkan kehadirannya kerana ada urusan untuk mendapatkan AS$1 bilion daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) di Abu Dhabi bagi membantu 1MDB menyelesaikan hutangnya.

Nur Jazlan sebelum ini berkata PAC tidak akan bertolak ansur lagi terhadap apa-apa alasan untuk tidak hadir kerana mereka diberikan masa antara enam hingga tujuh minggu untuk bersiap sedia disoal siasat.

Selain Arul Kanda dan Shahrol, laporan media sebelum ini menyebut CEO 1MDB antara Mac 2013 hingga Januari 2015, Hazem Abdul Rahman akan dipanggil pada 6 Ogos berdasarkan maklumat-maklumat baharu yang dikumpulkan oleh PAC sepanjang siasatannya.

PAC juga mahu memanggil bekas ahli lembaga pengarah 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Tan Sri Azlan Zainol pada 17 Ogos manakala ahli lembaga pengarah yang lain pada 18 Ogos.

4. Tidak bolehkah PAC meneruskan tugasnya dengan keanggotaan sedia ada?

Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Kit Siang menegaskan bahawa tidak ada alasan untuk PAC menangguhkan siasatannya terhadap 1MDB kerana jawatankuasa itu Naib Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw daripada DAP boleh mengambil alih kerusi yang dikosongkan oleh Nur Jazlan.

Peraturan Mesyuarat 77(2) menetapkan PAC mesti dianggotai oleh Pengerusi dan Naib Pengerusi serta tidak lebih daripada enam dan tidak kurang daripada 12 ahli Parlimen yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih.

Selain Seng Giaw, PAC dianggotai oleh lapan ahli Parlimen iaitu empat wakil BN, dua wakil Parti Keadilan Rakyat dan masing-masing seorang wakil PAS dan DAP.

Seng Giaw juga mengesahkan perkara tersebut dalam laporan Malay Mail Online hari ini yang mengatakan PAC masih cukup korum iaitu sembilan ahli, meskipun selepas Nur Jazlan dan tiga lagi ahli PAC dari BN terpaksa melepaskan jawatan mereka kerana dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri.

5. Apakah status perkembangan siasatan PAC?

PAC memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB pada 19 Mei 2015.

Ia mendengar keterangan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah.

Selain itu, PAC juga mendengar keterangan antaranya daripada firma audit KPMG yang mengaudit akaun 1MDB antara 2010 hingga 2012. Ini adalah tempoh yang kritikal dalam isu 1MDB kerana sebahagian besar keputusan pelaburan utamanya dibuat dalam tempoh tersebut.

PAC juga akan memanggil hartawan perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low melalui Kementerian Kewangan. Keputusan memanggil Jho Low adalah berdasarkan kapasiti ahli perniagaan itu sebagai lembaga penasihat Terengganu Investment Authority (TIA).

Pada 9 Julai 2015, PAC menerima laporan awal siasatan berasingan yang dikendalikan oleh Jabatan Audit Negara.

Hasil laporan interim mendapati beban hutang meningkat 1MBD berpunca daripada pelaburan berdasarkan keterangan saksi yang terlibat dalam bidang berkenaan.