Pelancongan domestik dijangka dapat meningkatkan semula ekonomi negara selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Namun begitu, pengusaha mahupun ejen berdepan dengan masalah kewangan selepas berdepan dengan kerugian sepanjang tiga bulan ini.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun, berpendapat pihak kerajaan boleh membantu setiap pengusaha dalam sektor itu, antaranya seperti penjanaan kewangan mahupun pemberian geran.

"Untuk memulihkan penggiat yang terhenti lama, mereka memerlukan penjanaan kewangan. Mereka perlukan dana untuk memulakan 'kick-off' kerana ini memerlukan kekuatan kewangan yang besar.

"Kerajaan diharapkan agar membantu mereka sama ada (dalam bentuk) geran ataupun apa juga kemudahan kewangan boleh membantu mereka yang layak. Dari segi pihak swasta pula terutamanya institusi kewangan pula diharapkan dapat memberi pinjaman mudah atau kredit," katanya.

Ditanya tentang tempoh pemulihan sektor pelancongan pasca COVID-19, ujar Khalid, bergantung kepada penglibatan rakyat yang melancong secara domestik seperti disarankan oleh kerajaan.

Tambahnya, pada masa yang sama pelbagai ketetapan normal baharu serta penambahbaikan infrastruktur pelancongan domestik juga perlu diambil kira dalam memastikan ekonomi sektor itu kembali di landasannya.

"Bila kita katakan destinasi pelancongan itu selamat dikunjungi, ia meliputi pelbagai perkara. Pertama, persekitaran yang selamat. Kemudian dari segi keselamatan kawasan (destinasi pelancongan) itu, sama ada terjaga seperti di Langkawi.

"Ia melibatkan kerjasama semua sektor dalam memastikan keselamatan kepada pelancong.

"Maka, perhotelan itu sendiri mesti mempunyai aset yang selamat dari segi bangunan serta kawasannya. Kedua kalau naik kereta kabel, penyelenggaraan itu juga perlu sentiasa dijalankan supaya selamat.

"Begitu juga keselamatan makanan, di Malaysia menjadi hub-halal jadi penyediaan makanan mestilah tahap begitu baik untuk memastikan pelancongan domestik ini terus dipacu," kata Khalid dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Rabu.

BACA: MOTAC komited promosi Malaysia destinasi pelancongan selamat