Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited melakukan usaha-usaha mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan selamat susulan pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan merangka pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan yang efektif dengan kadar segera bagi membolehkan ekonomi negara pulih dalam tempoh terdekat.

Katanya, setelah pelbagai pelan dan strategi dirangka, kementerian akan membuka semula sektor pelancongan tempatan secara selamat, bagi membolehkan semua pihak bercuti bersama keluarga.

"Selain memberikan kelegaan kepada kita semua, saya berharap sektor pelancongan kita juga akan dapat mula pulih beransur-ansur.

"Sebagai permulaan, kita mahu ia dibuktikan menerusi pelancongan domestik, yang mana dari kalangan kita sendiri, sama ada yang ada di sini atau di luar sana, harus memainkan peranan berganding bahu bersama-sama, menyemarakkan semula industri pelancongan negara, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi pada masa hadapan.

"Ini seiring dengan misi kita pada masa hadapan apabila sektor pelancongan mula dibuka untuk pengunjung luar, apabila keadaan kembali pulih satu hari nanti," katanya dalam sidang media pembukaan semua pelancongan domestik di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Nancy berkata, MOTAC turut mengadakan lebih 12 siri sesi libat urus melibatkan Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC) bagi mengenalpasti impak serta tindakan untuk menangani krisis tersebut.

"Sesi itu turut disertai agensi kerajaan dan penggiat industri pelancongan serta kebudayaan bagi mengenalpasti strategi untuk menangani krisis COVID-19," jelasnya.