Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM200 juta iaitu tambahan RM36 juta untuk pembinaan Empangan Jernih di sini bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi terdahulu telah memberi kelulusan peruntukan tambahan melalui surat bertarikh 14 Feb lalu.

"Jumlah yang diluluskan itu meliputi skop projek pembinaan struktur empangan, menara kawalan, alur limpah dan stesen Tenaga Nasional Berhad, kolam tadahan air dan jalan masuk ke empangan baharu itu.

"Kami harap dengan adanya pembinaan empangan berkapasiti takungan 13,000 juta liter sehari sumber air mentah ini dapat menyokong keperluan penambahan penduduk sehingga 2030 kelak," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan paras air semasa Empangan Durian Tunggal di sini pada Rabu.

Terdahulu beliau dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad, Zainal Abidin Ab Rahman melawat Empangan Jus di Jasin.



Sulaiman berkata Bahagian Bekalan Air di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dijangka akan membuat tawaran tender bagi projek Empangan Jernih yang dijangka mengambil masa 30 bulan itu selewat-lewatnya bulan depan (April) dan ia akan dimulakan setelah proses tender selesai.

Beliau berkata setakat hari ini Empangan Durian Tunggal hanya mencatatkan 16.1 peratus kadar air dengan kapasiti 4,970 juta liter, diikuti Empangan Jus 24.2 peratus berkapasiti 10,475 juta liter manakala Empangan Asahan 68.9 peratus dengan kapasiti 480 juta liter.

BACA: Catuan air di kawasan perindustrian, pelancongan, hospital di Melaka

BACA: Kemerosotan air empangan di Melaka akibat purata hujan rendah

Sebelum ini, catuan bekalan air di Melaka dilaksana bagi tempoh dua minggu pertama bermula 29 Jan lepas membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk dan diteruskan bagi fasa kedua pada 10 Feb melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.

Catuan air terus dilanjutkan pada fasa ketiga mulai Selasa ekoran paras air di tiga empangan utama masih belum mencatatkan peningkatan seterusnya untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas kering.

Melaka pada masa ini mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di sini.

-- BERNAMA