Hampir 4,000 rakyat Malaysia di luar negara yang akan dibawa pulang dalam masa terdekat perlu disaring dengan terperinci termasuk ditempatkan di pusat kuarantin selama 14 hari bagi memastikan bebas COVID-19.

Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik, Kuala Lumpur, Prof Datuk Awang Bulgiba Awang Mahmud, ketika dihubungi Astro AWANI berkata, saringan asas dengan mengambil suhu badan sahaja bukan kaedah terbaik.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu mengambil sampel menggunakan kaedah swab di kerongkong, hidung dan pemeriksaan darah.

"Langkah mengkuarantin mereka di satu lokasi khas selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah juga penting," katanya di sini pada Selasa.

Awang Bulgiba yang juga pakar epidemiologi berkata, saringan teliti itu adalah bagi memastikan mereka tidak membawa penyakit itu dan menjangkiti lebih ramai orang termasuk ahli keluarga di negara ini.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta syarikat penerbangan yang membawa mereka pulang supaya meneruskan amalan nyah cemar pesawat bagi meskipun tiada laporan penumpang yang mengalami gejala atau didapati positif COVID-19.

"Perkara ini bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan tidak ada gelombang yang seterusnya dalam penularan pandemik itu," jelasnya.

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu, kira-kira 3,468 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 61 buah negara.

BACA: 3,468 rakyat Malaysia masih terkandas di 61 negara

Beliau juga menjangkakan bilangan itu akan meningkat memandangkan masih ada rakyat Malaysia yang akan mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Chennai.