Kerajaan tidak meletakkan sebarang syarat bagaimana kerajaan negeri harus mengagihkan peruntukan kewangan yang diberikan kepada mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru kata Dr Mahathir, terpulang kepada kerajaan negeri untuk menggunakan peruntukan itu sebaiknya.

Menurut beliau sekiranya peruntukan yang diberikan tidak digunakan sebaiknya, rakyat mempunyai hak untuk menilai perkara itu.

"Kita bagi duit, kita tak bagi syarat. Apa yang dia nak buat dia buatlah. Kalau dia buat benda yang tak betul, rakyat akan hukum," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembelian kereta mewah jenis Mercedes Benz untuk kegunaan Menteri Besar Kelantan seperti dilaporkan media.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Jumaat bagaimanapun dilaporkan berkata pembelian kenderaan itu telah diputuskan sejak 2018 dan tidak menggunakan peruntukan 'one-off' sebanyak RM400 juta yang diberikan kerajaan Persekutuan, seperti didakwa pihak tertentu.

BACA: Kimanis Memilih: Saya akan baiki kelemahan, utamakan keperluan asas rakyat - Karim

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata Bersatu memberi sokongan seadanya bagi membantu calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang akan diadakan hari ini.

Jelasnya langkah itu selari dengan persetujuan kedua-dua parti sebelum ini bahawa Bersatu tidak akan bertanding di Sabah.

"Kita bantu macam biasa saja. Kita tak bagi duit kepada pengundi dan sebagainya. Itu bukan cara kita. Lagipun di situ Warisan yang bertanding.

"Warisan kedudukannya berbeza daripada parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH). Mereka bukan ahli dalam PH tetapi kita beri keistimewaan kepada mereka kerana kita telah bersetuju mereka akan bertanding di Sabah dan kita tak akan pergi ke sana," katanya.

BACA: Tun Mahathir akui sedang sesuaikan diri dengan terma dalam pendidikan

Mengenai perancangan beliau di Kementerian Pendidikan, Dr Mahathir yang dilantik sebagai pemangku Menteri Pendidikan berkata beliau telah mendengar penerangan daripada pihak kementerian pada Khamis dan sedang meneliti segala maklumat itu.

"Saya agak keliru sedikit, terlalu banyak fakta diberikan kepada saya, jadi saya sedang kaji semuanya, tapi satu perkara yang saya dah putuskan adalah anda (pelajar sekolah) boleh pakai kasut berwarna coklat, kasut hitam, kasut kelabu, kasut putih, semua kasut pun boleh," katanya secara berseloroh.

-- BERNAMA