Kerajaan masih belum menerima sebarang maklumat 23 remaja perempuan Rohingya yang diselamatkan oleh polis Bangladesh kerana dijanjikan pekerjaan di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut sebelum tindakan sewajarnya diambil.

"Sekiranya kenyataan tersebut mempunyai asas, pastinya ada tindakan undang-undang yang sesuai yang boleh kamil ambil terhadap perkara itu.

"Jadi saya tidak dapat mengesahkan sehingga saya dapat laporan rasmi mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan surat pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara baharu di sini, pada Isnin.

Laporan AFP pada Ahad menyatakan, seramai 23 remaja perempuan Rohingya telah diselamatkan oleh polis Bangladesh selepas dibawa dari kem pelarian ke Dhaka sebelum dihantar ke Malaysia melalui udara.


Menurut jurucakap polis, Mokhlesur Rahman, gadis-gadis berkenaan ditemui sedang bersembunyi di dalam bilik sebuah kedai jahit selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah kediaman di utara bandar itu.

Kesemua remaja terbabit yang berusia di antara 15 hingga 19 tahun itu juga berkemungkinan dipaksa menjadi pelacur.

"Mereka (gadis-gadis itu) dijanjikan pekerjaan di Malaysia dan dibawa dari kem pelarian di Cox’s Bazar," kata Rahman.

Pihak berkuasa Bangladesh, pada tahun ini sahaja telah menghalang lebih 300 etnik Rohingya daripada cubaan melarikan diri menggunakan bot nelayan buruk.

Ramai juga yang telah cuba terbang ke negara-negara termasuk Malaysia dan Asia Barat dengan mendapatkan pasport dan dokumen perjalanan Bangladesh.