Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menyiasat secara terperinci punca kemalangan kenderaan go-kart yang terbabas ketika perlumbaan Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini, semalam.

Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata, penubuhan jawatankuasa itu dibuat selepas menerima arahan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sejurus mendapat tahu mengenai insiden terbabit.

"Yang berhormat menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusuh telah mengarahkan kepada saya untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas siasatan ke atas perkara ini.

"Ianya merangkumi penganjur dan juga pegawai-pegawai KPT... dan hari ini terus ditubuhkan," katanya.

Selain itu, Dr Noorul berkata, beliau mendapat arahan daripada Idris untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut secepat mungkin.

"Siasatan (akan dilakukan) dengan terperinci (mengenai) apa yang sebenarnya berlaku dari semua segi,” tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas melawat seorang mangsa rempuhan go-kart yang mengalami kecederaan.

Lawatan tersebut turut dihadiri Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof Datuk Dr Wahid Omar.

​Rombongan itu juga telah membuat ziarah ke rumah mangsa dan kemudian ke lokasi kemalangan.

Dr Noorul Ainur turut berharap supaya penubuhan jawatankuasa itu dapat mengenal pasti punca sebenar berlakunya kemalangan tersebut dari pelbagai aspek.

Dalam kejadian pada Ahad itu, dua beranak maut dirempuh kenderaan jenis go-kart selepas kenderaan itu yang ingin memintas pelumba lain, hilang kawalan dan merempuh penghadang plastik.

BACA: Tiga go-kart bergesel punca kemalangan ragut nyawa dua beranak

BACA: Rempuhan go-kart ragut nyawa bapa, anak

Kejadian dalam sekelip mata itu telah mengakibatkan penyelia sebuah syarikat di Gebeng, Izwan Isa, 39, dan anak perempuannya, Siti Zulaikha, 5, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan manakala saorang anak lelaki mereka masih menerima rawatan.