Kertas putih yang mendedahkan keadaan sebenar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta rancangan strategik pemulihannya akan dibentangkan di Parlimen selepas pembentangan Bajet 2019 pada November.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerajaan telah melantik firma audit bagi menjalankan audit forensik dan mengemukakan laporan penuh mengenai kepincangan pengurusan Felda yang lalu.

“Kita akan kemuka dalam sidang Parlimen selepas pembentangan Bajet 2019 November ini.

"Dua minggu akan ada bahas (di Dewan Rakyat berhubung bajet), dan selepas itu kita akan bentangkan kertas putih ini,” katanya kepada media.

Terdahulu, beliau membangkitkan isu kertas putih Felda dalam ucapannya semasa kempen ceramah Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson.

Di hadapan kira-kira 500 hadirin, Naib Presiden PKR itu berkata tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mendedahkan kepincangan pengurusan Felda menerusi kertas putih.

“Apabila perdana menteri beri mandat kepada saya, saya terkejut. Saya terkejut apabila mendapati institusi dalam sektor perladangan telah diserah pada manusia rakus.

“Saya lapor kepada jemaah menteri. Saya kata, tidak ada pilihan, PH akan dedah kertas putih, dedah penyelewengan Felda dulu.”



Bagaimanapun, Mohamed Azmin tidak menyatakan secara khusus nama pihak yang terlibat dalam audit yang dijalankan terhadap Felda itu.

“Saya tidak tujukan pada siapa-siapa. Saya tidak ada dalam kedudukan itu. Apa pun, kena tunggu laporan audit forensik dulu,” katanya.

Tambahnya, kertas putih itu juga tidak akan menyentuh perkara yang sudah termasuk dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Ogos lalu, Mohamed Azmin berkata di Dewan Rakyat, Felda ketika ini sedang mengalami masalah aliran tunai yang amat kritikal akibat kelemahan dalam tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.

Memetik hutang Felda sebanyak RM8.025 bilion, katanya ia legasi kepimpinan terdahulu berikutan terlalu banyak campur tangan politik dalam urus tadbir.

Justeru, beliau menegaskan, kerajaan akan membentangkan kertas putih Felda dalam sidang Parlimen pada penggal akan datang.

Sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melantik firma audit luar bagi melaksanakan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik Felda.

Menurut perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, firma audit itu bertanggungjawab menilai semula proses pengawalan yang berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan Felda ke atas Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Pasukan firma itu telah menyerahkan laporan akhir kepada JPM pada Februari lalu dan mengemukakan cadangan dan syor berkaitan.