Jabatan Perkhidmatan Veterinar hari ini mengeluarkan statistik yang menunjukkan peningkatan 30 peratus kes penderaan ke atas haiwan di seluruh negara daripada 510 pada 2017 kepada 662 kes tahun lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata terdapat peningkatan 10 peratus daripada 463 kes pada 2016 kepada angka pada 2017 dan lebih 90 peratus daripada kes-kes tersebut melibatkan anjing dan kucing.

Menurut beliau, peningkatan jumlah kes penderaan haiwan yang dilaporkan kepada jabatan itu adalah disebabkan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat terhadap penderaan ke atas haiwan.

Beliau berkata dalam tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, sekurang-kurangnya 190 kes direkodkan dengan denda yang dikenakan berjumlah RM12,500 daripada lima kes yang dibawa ke mahkamah.

"Jumlah denda yang dikenakan ke atas pesalah tahun lepas ialah RM71, 200 berbanding RM15,000 pada 2017," katanya pada sidang media selepas merasmikan Modul Pendidikan Awal mengenai Penjagaan dan Kebajikan Haiwan di sini, hari ini.

Penerbitan modul ini, hasil kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, adalah titik permulaan bagi kedua-dua jabatan untuk menerapkan pendidikan awal mengenai penjagaan, pengendalian dan kebajikan haiwan di kalangan kanak-kanak pra sekolah sebelum memperluaskannya kepada pelajar sekolah rendah dan menengah sebagai sebahagian daripada ko-kurikulum.

Beliau menasihatkan masyarakat, tanpa mengira kaum dan agama, supaya tidak melakukan kekejaman ke ata haiwan dan menambah sekarang melalui aplikasi telefon pintar, mereka dengan mudah dapat merakamkan perlakuan kekejaman terhadap haiwan.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukan hukuman lebih berat iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda lebih tinggi ke atas mereka yang melakukan kekejaman ke atas haiwan.

Mengenai penyakit bawaan haiwan, beliau berkata jabatan itu telah mengklasifikasikan rabies, terutama di Sarawak, sebagai ancaman kepada orang ramai dan cabaran besar kepada jabatannya, yang sentiasa mengutamakan langkah-langkah pencegahan supaya sebarang wabak dapat ditangani dengan berkesan.

"Bagi penularan penyakit demam babi Afrika, beliau berkata kita perlu bersiapsiaga sepenuhnya bagi keungkinan penularan wabak itu di negara ini dan justru, langkah-langkah pencegahan telah pun diambil bagi menanganinya. -- Bernama

Artikel berkaitan:

BACA: Gajah pygmy dibunuh kejam, 70 peluru ditemui dalam badan

BACA: KATS pandang serius pembunuhan kejam gajah pygmy di Kalabakan

BACA: Bunuh, makan anjing dan kucing: NGO gesa tindakan diambil

BACA: Lelaki jerut kucing dipenjara 15 bulan

BACA: Bunuh kucing bunting guna pengering dobi, pekerja kontrak diarah bela diri

BACA: Tangani kes kekejaman ke atas haiwan sebagai kesalahan berat - SAM