Tutup

Kes Laporan Audit 1MDB: Ali Hamsa cadangkan salinan laporan audit 1MDB dicarikkan

Kes Laporan Audit 1MDB: Ali Hamsa cadangkan salinan laporan audit 1MDB dicarikkan
Prosiding kes Laporan Audit 1MDB diteruskan dengan saksi kelima, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa tampil memberi keterangan. - Foto Astro AWANI/FAREEZ AZMAN
KUALA LUMPUR: Prosiding kes Laporan Audit 1MDB hari ini diteruskan dengan saksi keempat, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa tampil memberikan keterangan.

Mengikut rakaman audio yang diperdengarkan kepada mahkamah pada hari ketiga prosiding itu dijalankan, Ali mengakui memberi cadangan dalam mesyuarat di pejabatnya pada 24 Februari 2016 agar versi salinan laporan audit 1MDB yang dipertikaikan agar dicarik untuk dihapuskan.

Ali disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Gopal Sri Ram: Adakah anda mengatakan dalam rakaman audio berkenaan untuk mencarikkan dokumen tersebut? Mengapa cadangan itu dikemukakan?
Ali Hamsa: Saya kemukakan cadangan itu untuk mencapai satu keputusan untuk memastikan tiada versi kedua atau ketiga laporan audit berkenaan dan menggunakan satu versi yang dipersetujui.

Gopal Sri Ram: Bila cadangan itu dibuat?
Ali Hamsa: Dalam mesyuarat tersebut pada 24 Februari 2016. Saya mencadangkan, tetapi tidak mengetahui sama ada ia dilaksanakan atau tidak.

Sementara itu, pasukan pembelaan yang diketuai Tan Sri Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa transkrip rakaman audio selama 2 jam 40 minit itu mempunyai beberapa kesalahan.

Hakim membenarkan Mohamad Shafee menangguhkan pemeriksaan balas terhadap saksi kelima sehingga transkrip rakaman audio tersebut dimuktamadkan oleh pihak pendakwaan.

BACA: Rakaman audio 2 jam 40 minit mesyuarat di Putrajaya didedah

BACA: Najib arah saya pecat Gani Patail - Ali Hamsa

BACA: Muhyiddin dipecat kerana persoal 1MDB - Ali Hamsa

Selain Ali, rakaman berdurasi 2 jam 40 minit itu turut membabitkan perbualan diantara, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, pegawai Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah dan beberapa individu lain.

Rakaman berkenaan antara lain dikaitkan dengan keputusan yang dibuat untuk menghapuskan empat isu daripada laporan audit 1MDB.

Sepanjang rakaman disiarkan, antara yang disentuh adalah berkaitan syarikat 1MDB, Good Star Limited yang dikaitkan dengan ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho,  Petro Saudi International Limited dan Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Tun Razak berdepan tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Najib dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM dan jika disabitkan kesalahan beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000.

Arul Kanda juga boleh dikenakan hukuman yang sama jika didapati bersalah oleh mahkamah.


Tag: Arul Kanda, Arul Kanda Kandasamy, 1MDB, SPRM, Perdana Menteri, Najib Razak, Putrajaya, Tan Sri Ali Hamsa



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.