Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak mengetahui mengenai butiran pemfailan dokumen syarikat SRC International Sdn Bhd yang dikemukakan kepada SSM.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada sesi pemeriksaan semula, Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata beliau juga tidak tahu mengapa dokumen terbabit difailkan demikian.

Saksi pertama pendakwaan itu berkata, beliau tidak mengetahui dengan khusus berhubung mana-mana syarikat yang didaftarkan kepada SSM.

Muhamad Akmaludin turut ditanya mengenai pelbagai dokumen SRC International yang difailkan kepada SSM dan dirujuk peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak kepada saksi itu pada awal sesi perbicaraan.

BACA: Kes Najib: SRC tidak dimiliki 1MDB, 1 juta saham dipegang Menteri Kewangan

BACA: Kes SRC Najib: Saksi pertama diminta kemuka tiga dokumen tambahan

Menjawab soalan Suhaimi, Muhamad Akmaludin berkata, beliau hanya menjawab soalan peguam berdasarkan apa yang tertera kepada dokumen yang dirujuk kepadanya sahaja.

Suhaimi: Ketika kamu dirujuk dengan pelbagai dokumen oleh peguam bela, semua keterangan yang kamu berikan bukan dalam pengetahuan kamu sendiri?

Saksi: Betul

Suhaimi: Apa yang kamu nyatakan adalah apa yang tertera dari dokumen?

Saksi: Betul

Suhaimi: Adakah kamu tahu bagaimana pemfailan sesuatu dokumen dan mengapa ia dikemukan sedemikian?

Saksi: Saya tidak tahu

Terdahulu pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram membangkitkan mengenai permohonan Harvinderjit yang meminta saksi mengemukakan kepada Mahkamah Tinggi tiga dokumen tambahan.

Tiga dokumen berkenaan ialah dokumen SRC International, dokumen berkaitan Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), dan dokumen butiran YR1M.

Ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding bicara 3 April lalu, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan.

Pada prosiding itu juga, kesemua tujuh pertuduhan ke atas Najib dibacakan semula dan beliau kekal mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dikenakan.

Perbicaraan bermula hari ini sehingga 10 Mei.