Pihak polis mahu mangsa pesalah pedofil Richard Huckle tampil memberikan maklumat dalam membantu siasatan.

Ia berikutan pendedahan pihak berkuasa mengenai kes warga Britain itu yang didapati mencabul 23 kanak-kanak ketika dia bertugas sebagai pengajar Bahasa Inggeris di Malaysia.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Siasatan dan Perundangan, Datuk Law Hong Soon berkata, sehingga kini, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

“Kami telahpun berusaha dan telah mengambil tindakan untuk menemu duga dan merakam percakapan orang yang mungkin mengetahui atau ada maklumat berkaitan kegiatan pedofil ini,” ujar beliau.

Tambahnya, siasatan menyeluruh sedang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak D-11 Bukit Aman.

Pihak polis juga sedang bekerjasama dengan Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) dalam penyaluran maklumat berkenaan pesalah terbabit.

BACA: Richard Huckle: KPWKM akan dapatkan maklumat rasmi

Huckle kini dibicarakan atas kesalahan berkenaan di London, dilaporkan mengaku mencabul 23 kanak-kanak ketika dia bertugas sebagai guru tuisyen di Malaysia.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 19 Disember 2014 setelah pulang dari Malaysia untuk bercuti sempena Krismas.

Terdahulu Hong Loon merasmikan program ‘Fun Run’ Portal Kanak-Kanak Hilang di ibu negara.

VIDEO: Pedofilia Britain dihukum di UK