Saksi keempat, Ahmad Farhan Sharifuddin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu, AmBank cawangan Raja Chulan pernah dikenakan denda kerana gagal menghantar Laporan Transaksi Meragukan (STR) kepada bank pusat berhubung transaksi yang mencurigakan melibatkan akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Farhan yang merupakan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu peguam pembelaan Najib, Harvinderjit Singh, denda tersebut dikenakan susulan serbuan BNM terhadap AmBank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Harvinderjit: Dalam siasatan anda, adakah bank tersebut didenda?

Ahmad Farhan: Ya.

Harvinderjit: Oleh sebab ia mempunyai kaitan langsung dengan siasatan anda, apakah pelanggaran yang dilakukan (Ambank Cawangan Raja Chulan)?

Ahmad Farhan: Ini berkaitan dengan kesalahan gagal mengemukakan STR ke atas akaun Datuk Seri Najib Razak.

Harvinderjit: Bagi urus niaga apa?

Ahmad Farhan: Saya tidak dapat menyatakan secara terperinci tentang transaksi tersebut.

Harvinderjit: Adakah ia sebelum atau selepas tahun 2013?

Ahmad Farhan: Transaksi dari pembukaan hingga penutupan akaun. Semua transaksi hanya dalam tempoh tersebut

Untuk rekod, Ahmad Farhan terlibat dalam serbuan di AmBank pada 2015.

Dalam pada itu, apabila disoal balas oleh ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Ahmad Farhan berkata, Najib tidak dimaklumkan berkenaan sebarang transaksi yang mencurigakan berhubung akaunnya.

Ini adalah kerana terdapat peruntukan dalam Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) yang tidak membenarkan sebarang amaran mengenai transaksi yang mencurigakan dimaklumkan kepada pemilik akaun.

BACA; Kes SRC: Ada cara untuk buktikan pinjaman RM2b KWAP digunakan untuk tujuan lain - Saksi