Kes SRC: Kerja pembinaan di rumah Najib bukan untuk tujuan bermewah - Saksi

Kes SRC: Kerja pembinaan di rumah Najib bukan untuk tujuan bermewah - Saksi
Saksi ke-tujuh Mohd Zakaria, dari MOZ (M) Sdn Bhd pula memberitahu Mahkamah bahawa beliau, pada awal 2015, telah diminta membaiki masalah saluran air di kediaman Najib (gambar). - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Dua saksi pendakwaan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka telah melakukan kerja-kerja pembinaan di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Namun kedua-dua saksi berkenaan, bersetuju dengan cadangan ketua peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa kerja-kerja, iaitu pembinaan sebuah setor bagi menggantung pakaian penghuni, dan kerja membaik pulih sistem perpaipan, bukan untuk tujuan bermewah-mewah (lavish spending).

Saksi ke-enam Zulkarnain Mohamad, 46, seorang pereka hiasan dalaman dari ABS Trend Master Sdn Bhd mengakui menerima panggilan dari seorang individu bernama Amirul untuk melakukan kerja pembinaan sebuah setor di lokasi terbabit.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Zulkarnain mengaku telah menerima jumlah bayaran sebanyak RM100,000 bagi pembinaan setor itu, termasuk juga pembinaan sebuah pos kawalan untuk polis di Langgak Duta, serta membetulkan pintu ruang membuang sampah.

BACA: Najib keluarkan beberapa cek bernilai RM10.5 juta - Saksi
Menerangkan lebih lanjut, Zulkarnain berkata, setor itu berukuran kira-kira 24 kaki, khusus bagi tempat menyimpan dan menggantung pakaian penghuni, dan mempunyai sebuah sinki untuk kegunaan membasuh air dan tempat meminum.

Ketika disoal Muhammad Shafee kemudian, saksi itu berkata setor berkenaan tidak mempunyai tujuan lain untuk dibina, melainkan atas tujuan yang telah disebut sebelum ini.

Saksi ke-tujuh Mohd Zakaria, dari MOZ (M) Sdn Bhd pula memberitahu Mahkamah bahawa beliau, pada awal 2015, telah diminta membaiki masalah saluran air di kediaman Najib.

Setelah melihat masalah sebenar, beliau mencadangkan kepada individu yang menjaga rumah berkenaan, agar dibina satu tangki baharu bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Ketika disoal Muhammad Shafee, sama ada beliau tahu jumlah sebenar penghuni rumah itu, Mohd Zakaria mengatakan tidak tahu.

Ditanya sama ada beliau bersetuju penghuni di kediaman berkenaan bukan sahaja Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tetapi juga sekitar 10 orang terdiri dari pembantu rumah, polis yang membuat kawalan, serta lain-lain individu berkenaan, Mohd Zakaria mengangguk.

Ditanya sama ada beliau bersetuju tangki berkenaan bukan dibina untuk tujuan bermewah-mewah, tetapi ia satu keperluan mengambil kira jumlah penghuni di rumah itu, saksi sekali lagi mengangguk.

Pada awal perbicaraan yang memasuki hari ke-lima hari ini, Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek dari Ambank, Badrul Hisam Mohamad mengesahkan ABS Trend Master Sdn Bhd dan MOZ (M) Sdn Bhd antara penerima cek yang dikeluarkan oleh sebuah akaun dipercayai milik Najib, antara Disember 2014, dan Februari 2015.

Kedua-dua syarikat itu masing-masing menerima cek berjumlah RM100,000 dan RM56,000.

Muhammad Shafee kemudiannya memberitahu wartawan, bahawa pihak beliau berjaya membuktikan tujuan pendakwa raya memanggil kedua-dua saksi berkenaan untuk menunjukkan Najib bermewah dalam perbelanjaan, adalah tidak benar.

Selain itu, katanya lagi, pihak pendakwaan gagal memahami kesemua tujuh pertuduhan itu adalah untuk membuktikan Najib menerima wang, bukan menyimpan atau membelanjakan wang berkenaan.

“Mereka punya pendakwaan, dia sendiri pilih dia punya charges, dari pecah amanah tiga, lagi empat dari AMLA. Semua dia katakan kesalahan ini sebab you terima wang dalam akaun itu, bukan you membelanjakan atau transfer duit dari akaun you ke tempat lain.

“Macam kontraktor itu, dia keluar duit dia bayar. Ini bukan tuduhan dia, this is not relevant. Tak ada kena mengena dengan kesalahan yang kononnya dilakukan iaitu dengan erti kata penerimaan wang,” katanya lagi.

Tag: Najib Razak, Rosmah Mansor, Muhammad Shafee Abdullah, AmBank, SRC International, Perdana Menteri, mahkamah


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.