Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa diberitahu sejumlah RM4 bilion wang dipindahkan dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada akaun syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Saksi ke-24 yang merupakan pengurus Unit Rentas Pusat Kiriman Wang Ambank, Wedani Senen memberitahu mahkamah bahawa transaksi pertama berlaku pada 26 Ogos 2011 melibatkan empat transaksi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Sulaiman Kho, di sini, hari ini.

Menurut Wedani, pemindahan tersebut direkodkan melalui confirmation advice yang dikeluarkan oleh Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (Rentas).

Sementara, satu lagi transaksi dalam jumlah yang sama dikreditkan secara sekaligus (lump sum) pada 28 Mac 2012.


Sulaiman: Boleh puan maklumkan apa dokumen ni?

Wedani: Confirmation advice. Duit masuk dari Kumpulan Wang Persaraan kepada AmIslamic Bank.

Sulaiman: Jumlahnya?

Wedani: RM2 billion kepada SRC pada 26 Ogos 2011.

Sulaiman: Adakah confirmation advice ini dikeluarkan Unit Rentas AmBank?

Wedani: Ya.


Jelas beliau kepada mahkamah, confirmation advice ialah dokumen yang dikeluarkan secara automatik oleh Sistem Rentas bank terbabit bagi melengkapkan pelaksanaan pemindahan wang dari sebuah bank ke akaun Ambank.

Dalam perkembangan sama, Wedani turut mengenal pasti beberapa dokumen yang sebelum ini dirujuk kepada Pengurus AmBank, R Uma Devi.

Dokumen itu termasuklah pemindahan dana berjumlah RM40 juta dari Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana Sdn. Bhd.

Untuk rekod, Gandingan Gandingan Mentari merupakan anak syarikat SRC International dan Ihsan Perdana merupakan syarikat yang mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi SRC International.

BACA: Hakim tolak pemohonan Najib batal tujuh pertuduhan SRC International

Najib, 66 tahun berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.