Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita yang ditemui dengan leher terjerut di sebuah ladang kelapa sawit di Mambang di Awan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata hasil bedah siasat oleh forensik ke atas mangsa, S. Letchumi, 28, maut setelah dipukul bertubi-tubi dengan objek tumpul di bahagian kepala.

Kong Soon berkata pasangan suami isteri berusia 46 tahun itu dikatakan mengenali mangsa.

BACA: Wanita maut dijerut ditemui

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati terdapat pelbagai hasil dapatan lain ke atas mayat wanita yang ditemui bersama kecederaan di leher dan kepala serta kesan jerutan di leher.

"Siasatan forensik mendapati berlaku pergelutan di antara suspek dan mangsa sebelum kejadian berlaku.

"Pihak perubatan forensik juga mendapati tiada koyakan pada alat sulit wanita berkenaan,"ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya juga telah menahan pasangan suami isteri masing-masing berusia 46 tahun pada 12 tengah malam Rabu untuk membantu siasatan.

"Hasil siasatan awal polis, lelaki berkenaan adalah teman lelaki kepada mangsa yang ditemui maut, manakala wanita berkenaan adalah isteri kepada lelaki tersebut.

"Isteri teman lelaki itu datang ke IPD Kampar manakala lelaki berkenaan ditahan di rumahnya, dan kita masih dalam proses melaksanakan siasatan ke atas kes ini," katanya.

Kong Soon berkata sampel darah mangsa akan dihantar untuk tujuan analisis DNA atau toksikologi ke Jabatan Kimia Malaysia.

Ssemalam Astro AWANI melaporkan mengenai penemuan mayat wanita di Mambang Di Awan,dekat sini yang ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkannya pada polis.