Kesemua 14 individu yang ditahan semalam kerana ingkar arahan bersurai semasa berhimpun di hadapan pusat beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini.

Menurut ACP Zainuddin, 13 lelaki dan seorang wanita dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 10 malam tadi.

"Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun turut dibawa ke IPD dalam insiden itu kerana ibunya dipercayai terlibat dalam perhimpunan itu dan polis tidak menahan kanak-kanak itu," katanya.

Pengarah eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Nalini Elumalai semalam turut mengesahkan penahanan itu kepada AstroAWANI.

Nalini berkata 15 peserta tersebut termasuk seorang kanak-kanak berumur 10 tahun telah ditahan dibawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Awam 2012.

Sebelum itu polis berkata hanya 13 peserta telah ditahan.

“Kami menerima maklumat bahawa flashmob ini adalah untuk menyeru orang untuk menyertai perhimpunan Black 505 pada 22 Jun.

Zainuddin turut berkata perhimpunan pada Jun 22 itu tidak memenuhi syarat dan didapati akan menganggu lalu lintas sekiranya dilangsungkan.

Dalam laman Facebooknya, Nalini menamakan 15 orang itu sebagai Edy Noor, Shariful Azmir Mustafa, Abdul Aziz, Anwar Yaacob, Sky Lau Tock Sang, Gerald Tang, Safwan Shamsuddin, Zanina Mohamed, Abdul Muqit, Ekhsan Bukharee, Ibrahim Babu, Muhamad Al Fateh, Sulaiman Harun, Muhd Akmal Fizani, Roslee Mohd Shariff.

Satu lagi flasmob lain dijangka akan diadakan di Jalan Tun Perak pada pukul 6 petang Rabu depan.