Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpandangan bahawa pengenalan seni khat bertujuan menerapkan nilai warisan Bahasa Melayu dan identiti negara dan isu itu sepatutnya tidak dicetuskan sehingga mengundang kontroversi.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, seni Tulisan Jawi, Cina dan Tamil dikenali murid tahun 1 pada 2011 sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan.

"Justeru adalah tidak wajar ia dijadikan sebagai isu sehingga mengundang kepada kontroversi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 2015 pula seni tulisan berkenaan diperkenal dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk Sekolah Kebangsaan di bawah tema 'Menghargai Budaya Bangsa'.

"Tahun ini merupakan tahun semakan KSSR Tahun 4, maka golongan profesional perlu melakukan perbincangan dan mencari jalan supaya pembelajaran seni khat tidak membebankan murid. Kita mahu memupuk gaya penulisan indah menjelang 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

BACA: Bukan Melayu juga ikuti kursus seni khat di universiti

BACA: Kerajaan tekad teruskan pengajaran tulisan khat - Tun M

BACA: Kementerian Pendidikan diminta bertegas laksana pengajaran tulisan khat - Mahfuz

Cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum sekolah menimbulkan pelbagai reaksi, bagaimanapun kementerian itu bertegas bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Pengenalan itu turut disambut baik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan bantahan mengenai perkara itu hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

-- BERNAMA