Sebuah memproses kitar semula plastik di Sungkai, Perak diarah berhenti operasi serta-merta selepas didapati gagal mematuhi kelulusan bersyarat yang diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Arahan itu dibuat bagi memberi laluan kepada siasatan terperinci setelah pemeriksaan dijalankan menemui banyak keraguan di dalam operasinya.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri, A. Sivanesan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) di dalam surat bertarikh 24 Jun lalu, tidak meluluskan operasi kilang itu, yang dipercayai dimiliki seorang lelaki warga asing.

"Selepas kita terima surat daripada Jabatan Alam Sekitar, saya ingat kita boleh suruh dia (pemilik kilang) berhenti kerja-kerja di sini.

"Selepas itu, kita memantau semula, tengok sama ada dia memenuhi semua syarat. Kalau penuhi, maka kita akan benarkan dia beroperasi, kalau tidak, dia kena tutup, kita kena adil kepada kedua-dua pihak," katanya.

Sivanesan menunjukkan hasil pemeriksaannya ke atas kilang kitar semula plastik terbabit. - Astro AWANI
Beliau ditemui selepas mengadakan pemeriksaan ke kawasan itu pada Khamis.

Lawatan sejam bermula pukul 11 pagi itu turut disertai pegawai-pegawai dari JAS Perak, Majlis Daerah Tapah, Pejabat Tanah dan Daerah Batang Padang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), polis dan Jabatan Imigresen.

Sivanesan berkata, kilang yang terletak tidak jauh dari kawasan penempatan itu juga boleh menimbulkan risiko sekiranya terus dibiarkan beroperasi kerana sudah terdapat aduan daripada penduduk Kampung Baru Kuala Bikam bahawa berlaku pencemaran di sungai berhampiran.

Pada Isnin, semasa lawatan mengejutnya, Sivanesan mengesyaki kemungkinan kilang itu memproses semula sampah plastik import kerana terdapat tulisan Arab pada plastik yang ditemui.

Beliau turut meminta Jabatan Tenaga Kerja meneliti maklumat mengenai pekerja di kilang itu kerana dikhuatiri menggunakan tenaga kerja asing berbanding pekerja tempatan.