Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan mempertimbangkan sama ada untuk merayu dalam kes seorang pelajar tajaan Mara yang dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark Crown di London, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pihak kementerian boleh mengemukakan rayuan untuk mengurangkan tempoh hukuman itu tetapi tertakluk kepada perundangan di negara itu.

"Kita boleh merayu ... masalahnya kita tertakluk kepada perundangan negara tersebit. Kita perlu menghormati perundangan yang negara lain amalkan. Kita akan lihat bagaimana (kes) pelajar ini nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mara Bersama Komuniti Usahawan Rompin di Kuala Rompin, di sini, hari ini.

BACA: Pelajar genius Malaysia di London dipenjara lima tahun miliki bahan lucah kanak-kanak

BACA: MARA tamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri Azmeer serta-merta

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kes pelajar tajaan MARA, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas 13 kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Bagaimanapun, Mara dalam satu kenyataan mendakwa pelajar itu hanya dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan.

Berdasarkan maklumat akhbar British, pelajar pintar matematik di Imperial College London itu ditahan semasa serbuan polis di tempat tinggalnya di Queensborough Terrace berdekatan dengan Hyde Park pada 20 Nov tahun lepas dan merampas 600 video dan gambar kategori " A yang didefinisikan oleh pihak berkuasa British sebagai "extreme form of child sexual abuse" (penderaan seksual kanak-kanak yang melampau).

Pelajar itu dilaporkan ke London untuk melanjutkan pelajaran pada tahun lepas setelah mendapat tajaan Mara yang terletak di bawah KKLW.

Sementara itu, akhbar British melaporkan Mara memaklumkan Nur Fitri hanya dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan dan berdasarkan hukumannya bermula sejak dia ditahan November tahun lepas, pelajar itu hanya perlu berada di penjara selama empat bulan.

MARA memaklumkan berdasarkan perundangan Visa dan Imigresen di United Kingdom seseorang yang telah menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara boleh dihantar pulang ke negara asalnya.

Berdasarkan fakta tersebut MARA yakin Nur Fitri dapat dihantar pulang dalam masa tiga hingga empat minggu lagi.

MARA juga dilaporkan telah menamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri sebaik dia ditahan.