Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) berjaya merampas beberapa jenis produk tradisional Cina yang tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta, di sini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata rampasan itu dilakukan dalam satu serbuan di gudang penyimpanan di sini pada 8 Jan lepas.

"Rampasan ini hasil daripada saringan pemeriksaan di pintu masuk Pelabuhan Senari Kuching.

"Hasil pemeriksaan dijalankan menemui lebih 100,000 kotak produk-produk tidak berdaftar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata kesemua produk tersebut dipercayai didalangi oleh sindiket dan dibawa masuk secara tidak sah untuk pasaran domestik khususnya di Sarawak.

Katanya KKM sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat dalam sindiket itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit.

-- BERNAMA