Tutup

Kongres Maruah Melayu: Jadikan agenda nasional sebagai keutamaan - Bastien

Kongres Maruah Melayu: Jadikan agenda nasional sebagai keutamaan - Bastien
BASTIEN: Semua kaum harus mengangkat agenda nasional seperti yang kita lakukan bersama pada tahun 1957. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Melayu menguburkan perasaan takut dan mula menjadikan agenda nasional sebagai keutamaan dalam kehidupan.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, Melayu tidak harus duduk di takuk lama setelah ditadbir selama 61 tahun oleh Melayu sendiri.

Jelasnya, untuk mengakui bahawa Melayu itu masih lemah juga seolah-olah mengakui kesilapan diri sendiri.

Bagi kaum Melayu ujar Bastien, perlu membuktikan kekuatan dengan keupayaan untuk melindungi kaum minoriti di dalam negara dengan asas yang kuat harus melindungi yang lemah dan itulah lambang kekuatan yang sebenar.
“Semua kaum harus mengangkat agenda nasional seperti yang kita lakukan bersama pada tahun 1957.

“Semangat Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra A-Haj harus didokong semula oleh ketiga-tiga kaum utama di negara ini.
“Bukankah mencapai Kemerdekaan itu merupakan satu agenda nasional? Kita berjaya lakukannya 62 tahun lalu dan kita mampu lakukannya sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: Kongres Maruah Melayu: Amanat Tun Mahathir melangkaui pelbagai isu - Dr Hamidin

BACA: Kongres Maruah Melayu: Semua nak jadi PM punca Kerajaan PH tidak cukup 'kemelayuan'

Namun tegas Bastien, jika konteksnya bagi tujuan menyedarkan bangsa Melayu yang masih tertinggal, kongres itu sendiri merupakan satu panggilan.

Katanya, Melayu hari ini perlu menyertai gerakan agenda nasional dan membuktikan keupayaan masing-masing.

“Ahad lalu menyaksikan betapa media sosial dilimpahi dengan pandangan, cerca, pujian dan marah hasil reaksi daripada Kongres Maruah Melayu.

“Kongres ini telah dihadiri dari pelbagai latar belakang yang  terdiri daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), cendekiawan serta dibanjiri pelajar-pelajar universiti yang kebanyakannya adalah Melayu.

“Tiada apa yang baru sebenarnya, kongres ini tidak lebih daripada peringatan kepada kaum-kaum lain berkenaan kedudukan dan permintaan orang Melayu berkaitan agama Islam, sistem pelajaran dan hak-hak keistimewaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu jelas Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat, pembentangan wakil dari Pas amat baik iaitu peringatan kepada kerajaan hari ini agar aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah menjadi anutan.

BACA: Kongres mahu pemegang jawatan tertinggi Malaysia beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah

BACA: 
Kongres Maruah Melayu: Tun Mahathir jawab permintaan Kit Siang

Tambahnya, kenyataan orang Melayu masih lagi dikatakan lemah, malas dan tidak berdaya saing juga tidak dipersetujui malah perlu diakui bahawa orang Melayu kini telah pergi jauh hingga ke angkasa.

“Anak Melayu boleh membanggakan negara di persada dunia. Generasi saya berasa hina jika masih lagi dimomokkan dengan dongengan Melayu itu lemah.

“Saya ingin buktikan bahawa kepimpinan Melayu itu hebat. Sebelum merdeka, kadar kemiskinan negara adalah 70 peratus berbanding pada 2018 iaitu pada paras 3 peratus sahaja.

“Bukankah kejayaan itu merupakan hasil kebolehan kerajaan yang dipimpin oleh Melayu. Mungkin boleh disemak unjuran terbaru yang dikeluarkan oleh United Nations (UN) dengan bakal Perdana Menteri kelapan tentang peratusan terkini semenjak Pakatan Harapan mengambil-alih kerajaan,” ujarnya.

Katanya lagi, Melayu akan membuktikan mampu menerajui agenda yang lebih besar iaitu agenda nasional bersama bumiputera lain termasuk Cina, India, Dayak, Kadazan, Murut dan lain-lain.

“Ramai Melayu mempersoalkan tentang sokongan orang Cina kepada kerajaan hari ini, tetapi suka saya ingatkan bahawa kaum Cina telah menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 61 tahun.

“Mereka ini kaum yang praktikal dan kesetiaan mereka adalah kepada kebolehupayaan mentadbir.

“Hari ini saya mengajak kaum Cina menyertai Melayu untuk menolak kerajaan yang gagal menterjemahkan keupayaan dan mengotakan janji-janji dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu,” jelasnya.

Tegas Bastien, adalah sesuatu yang memalukan rakyat masih membincangkan masalah tentang kedudukan sesama kaum selepas lebih enam dekad kita merdeka sedangkan negara lain sudah membincangkan kemajuan pemikiran dan kehebatan teknologi masing-masing.

Bastien turut menasihatkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar berhenti mengapi-apikan kaum Cina yang lebih elok dan makmur semasa kepimpinan BN.

“Sudah tiba masanya kita mengimpikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang bersih, dengan penemuan-penemuan baru oleh saintisnya, pasukan bolasepak yang bermain di Piala Dunia dan cendekiawan yang merangkul hadiah nobel.

“Selain itu ekonomi negara yang hebat dan meneraju dunia, keamanan majmuknya menjadi contoh dan negara yang sifar pencemaran. Kita boleh lakukannya bersama di atas semangat agenda Nasional,” tegasnya.


Tag: Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, UMNO, PAS, Barisan Nasional, DAP, Pakatan Harapan, GERAKAN, Merdeka, PRU, NGO, Bumiputera, Melayu, Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn, Kongres Maruah Melayu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.