Kongres Maruah Melayu yang dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober ini merupakan satu usaha untuk mencari perpaduan Melayu bukan berasaskan kepada ideologi politik yang seperti dibuat Himpunan Penyatuan Ummah.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata ia adalah satu pendekatan untuk mencari perpaduan dan kesepaduan Melayu berasaskan kepada rumpun Melayu itu sendiri.

“Rumpun Melayu itu termasuk aspek agama, budaya, ekonomi dan politik dan bukan politik sahaja seperti Himpunan Penyatuan Ummah.

“Dalam setiap aspek, kita tekankan isu Melayu, kenapa kena bersatu demi mempertahankan semua ini. Ini adalah perhimpunan Melayu yang paling strategik dan bersejarah.

“Kerana itu, rasa kerumpunan mendalam ini memandu kita ke depan untuk perpaduan Melayu ke arah satu hala tuju,” katanya ketika ditemui, di sini, pada Khamis.

BACA: Kongres Maruah Melayu: Amanah dan Pas satu pentas, apa salahnya? - Salahuddin

BACA:
Hadi akan hadir ke Kongres Maruah Melayu

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kehadirannya ke kongres tersebut sebagai pemimpin Melayu, dan bukannya sebagai perdana menteri serta akan memberikan amanatnya kepada umat Melayu.

Sementara, empat universiti yang membentuk gabungan bagi menjayakan kongres tersebut adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Muzakarah Melayu

Dalam pada itu, Rahim yang juga Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW) menjelaskan, pihaknya sedang mengusahakan satu muzakarah Melayu di mana amanat Dr Mahathir akan diambil sebagai asas untuk perpaduan Melayu ke arah satu hala tuju selain Melayu itu sendiri boleh berdikari dalam ekonomi.

“YPW mungkin akan mengadakan kolokium di mana jemputan intelektual untuk menganalisa keperluan dan pendekatan serta syarat-syarat lain dalam usaha menjadikan hasrat kita itu satu realiti di kalangan masyarakat Melayu.

“Selepas kita melihat dan menganalisa aspek perpaduan Melayu dan ekonomi serta tahu kelemahan dan kelebihan, kita akan susun strategi supaya semua pihak bukan sahaja kerajaan malah semua pihak Melayu tidak kira apa pangkat, darjat, kedudukan di mana dia berada di kerajaan, sektor swasta atau persendirian, masing-masing memainkan peranan mereka untuk mencapai dua matlamat agung berkenaan.

“Perpaduan Melayu itu mempunyai satu hala tuju iaitu melihat Melayu lebih berdikari dalam ekonomi,” ujarnya.

Rahim memberitahu, pihaknya juga bukan sahaja akan membuat resolusi, malah akan menghalusi dan mendapatkan sukarelawan serta pejuang Melayu yang boleh bekerja bukan kerana duit dan berjuang untuk menyampaikan mesej itu ke setiap negeri.

“Pada setiap sasaran akar umbi itu misinya supaya kita akan mencapai satu tahap penghayatan daripada amanat Dr Mahathir itu benar-benar menjadi kenyataan di semua peringkat Melayu.

“Kita hendak melihat satu suasana yang hebat, iaitu Melayu berjaya dari segi perpaduan ekonomi selepas kongres ini.

“Setiap Melayu mesti menganggap perpaduan Melayu dan ekonomi ini perjuangan Islamik yang paling penting dan ibadah fardu kifayah yang diberatkan untuk kita sama-sama menyertai gerakan ini di seluruh negara,” jelasnya.


Sumbangan Melayu

Tambahnya, penyertaan setiap orang Melayu diperlukan di mana sahaja mereka berada, apa sahaja kerjaya dan kedudukan demi sama-sama menyumbang kepada perpaduan dan ekonomi Melayu.

“Kita hendak melihat wawasan Dr Mahathir bahawa orang Melayu akan bangun dan menikmati kemakmuran negara yang dikongsi bersama secara adil akan menjadi satu kenyataan di dalam negara kita.

“Saya berharap orang Melayu yang mana sempat akan hadir dalam kongres Melayu ini, yang tidak sempat akan menonton amanat Dr Mahathir ini di setiap platform media untuk memastikan segala hak dan kepentingan Melayu negara kita akan sentiasa dapat dipertahankan, dilindungi, dipelihara dan diperkasakan selagi ada bulan dan bintang.

“Kepimpinan Melayu dalam negara ini agak lemah sekarang ini, baik yang berada di dalam UMNO, Pas, PKR, Amanah mahupun Bersatu,” katanya

Namun yang pasti tegas Rahim, Bersatu dalam konteks Pakatan Harapan (PH) memiliki kuasa dan dalam mana-mana perjuangan mesti berlandaskan kuasa yang dimiliki.

“Seperti Himpunan Penyatuan Ummah, semangat berapi-api dan mendidih tetapi bukan atas landasan kuasa dimiliki, jadi seperti tidak bermakna.

“Kita orang Melayu, dalam merealisasi idealisma perjuangan mesti berlandaskan kuasa dan Dr Mahathir adalah puncak segala puncak kuasa sebagai Perdana Menteri.

“Dalam konteks inilah perjuangan Melayu boleh disempurnakan dengan baik. Kalau setakat melaung-laung, menjerit-jerit dan membuat provokasi, kita tidak akan mencapai matlamat yang kita inginkan,” ujarnya.

Tambahnya, orang Melayu perlu berani membuat penghijrahan politik dari organisasi yang tidak ada kuasa kepada yang ada kuasa untuk melaksanakan ciri-ciri perjuangan kita.

“Malah, dalam sejarah, Islam menjadi cemerlang selepas adanya penghijrahan orang Islam Mekah ke Madinah dan di bumi Madinah ini baru Islam benar-benar cemerlang,” katanya.