Kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan yang mengatasi segalanya dalam tindakan kerajaan berhubung penyebaran koronavirus bagi mengelak situasi di Wuhan, China berlaku di negara ini.

Presiden Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohamad Faiz Azemmant berkata, langkah itu penting untuk mengelakkan penyesalan yang terlambat.

"Jangan nanti apabila sudah terhantuk baru terngadah. Negara bukan sahaja dikejutkan dengan penularan virus Influenza A, tetapi kini koronavirus.

"Situasi di Wuhan ketika ini begitu buruk sehingga jutaan penduduk di situ tidak dibenarkan keluar atau meninggalkan daerah berkenaan buat sementara waktu bagi membendung penularan virus itu.

"Di Malaysia, empat kes koronavirus telah dilaporkan melibatkan warga China. Adakah kerajaan hanya akan bertindak apabila ramai rakyat negara ini dijangkiti virus itu? Bila kerajaan mahu bertindak tegas seperti menyekat sementara kemasukan pelancong dari China ke negara ini?" katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

BACA: Koronavirus: Kerajaan perlu halang kemasukan pelancong

BACA:
Koronavirus: Agong, Raja Permaisuri titah rakyat Malaysia jaga keselamatan, kesihatan diri

Penyebaran virus yang bermula dari China itu menyebabkan masyarakat seluruh dunia bimbang dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Jumlah kematian akibat koronavirus meningkat kepada 54 orang dengan 13 kematian baru dan 323 kes baru disahkan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif virus 2019-nCoV di China adalah sebanyak 1,610 orang.

Syed Mohamad Faiz berkata, negara mudah terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit antarabangsa jika terus membuka pintu masuk kepada pelancong dan pekerja asing.

"Kita berpendapat, kerajaan perlu menyekat sementara kemasukan pelancong dari China termasuk menarik balik buat sementara pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong dari China yang diberikan bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2020.

"Dalam keadaan yang berlaku di China ketika ini, kerajaan perlu mempertimbangkan kepentingan utama kepada rakyat atau kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020)?" soalnya.

Jelasnya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi perlu memberi jaminan saringan pelancong khususnya dari China.

"Pelancong berkenaan tidak seharusnya menjadi mangsa diskriminasi walaupun negara itu kini berhadapan penularan wabak koronavirus.

"Kita minta kerajaan kuatkasa langkah saringan kepada pelancong yang masuk ke negara ini di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang.

"Apa jaminan tidak akan ada pelancong yang terlepas masuk tanpa saringan? Tindakan pencegahan lebih baik daripada merawat bagi memastikan penularan virus itu tidak menjadi parah, ia dilakukan demi keselamatan dan kesihatan rakyat negara ini," tegasnya.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim sebelum ini berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan langkah untuk tidak menerima kemasukan pelancong dari negara yang telah dikenal pasti sebagai punca wabak koronavirus.

Jelasnya, langkah yang dilakukan oleh banyak negara lain itu perlu dilakukan di negara ini bagi membendung wabak berkenaan merebak.