Kerajaan Negeri Kedah kini memperketatkan kawalan di tiga pintu masuk antarabangsa ke negeri itu dalam mengekang penularan koronavirus atau dikenali sebagai 2019-nCoV.

Arahan itu telah dikeluarkan Exco Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh di mana tiga pintu laluan masuk di Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Langkawi yang mana setiap pelancong harus menjalani ujian saringan imbasan suhu.

Jelas Dr Ismail, Jabatan Kesihatan Negeri turut diminta mengambil langkah berwaspada selepas Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan seorang rakyat China yang sedang bercuti di republik itu disahkan positif koronavirus.

BACA: Tiga individu sudah disahkan dijangkiti virus Wuhan di Singapura

Mereka yang baru pulang dari melawati negara China diwajibkan menjalani ujian mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan sekiranya positif mereka akan terus dikuarantin di situ.

BACA: Koronavirus: Lapan warga China dikuarantin di Johor Bahru

BACA: Johor perketat kawalan di semua pintu masuk negeri

"Kita kenal pasti yang masuk tu siapa, dan bila kita kenal pasti kumpulan ini kumpulan yang berisiko tinggi, pada masa itu staf kita yang berada di kawasan saringan itu akan lebih teliti untuk melihat imbasan suhu itu tadi dan akan memanggil bila mereka disyaki ada perubahan suhu.

"Kita nasihatkan penduduk kita, orang Malaysia terutamanya, (supaya) tangguh sebentar lawatan ke negara-negara berisiko terutamanya China. Apabila keadaan reda, kita dapatkan maklumat (agar) boleh teruskan semula (perjalanan)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu beliau turut mengarahkan Jabatan Kesihatan menambah mesin pengimbas sistem gelombang dan suhu badan di pintu masuk Kota Putra, Durian Burung dalam tempoh terdekat.

Katanya walaupun cuti Tahun Baharu Cina, namun anggota penguatkuasa dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mengawal pintu sempadan negeri itu 24 jam setiap hari.

Katanya, semua petugas di sempadan diarahkan sentiasa berwaspada pada tahap tinggi terhadap simptom atau gejala virus berkenaan terhadap mana-mana individu atau pelancong yang memasuki negeri itu.

Wabak itu mencetuskan kebimbangan selepas jumlah individu yang disahkan dijangkiti koronavirus di Singapura kini meningkat kepada tiga orang.

Terdapat 44 kes yang disyaki koronavirus dilaporkan di Singapura melibatkan pesakit yang berusia antara setahun hingga 78 tahun.

Hasil ujian yang dilakukan terhadap semua pesakit itu mendapati 13 daripadanya adalah negatif.