Langkah kesiapsagaan yang diambil kerajaan dalam menangani wabak koronavirus adalah melebihi daripada apa yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, Malaysia terlebih dahulu mengambil semua tindakan yang perlu, sebelum pengisytiharan darurat kesihatan global oleh badan itu, awal hari ini.

“Dengan pengisytiharan oleh WHO ini, walaupun mereka mengatakan tidak perlu ada sekatan travel and trade (melancong dan berdagang), tetapi kita sebaliknya kerana kita tidak menggalakkan.

“Ia satu perkara yang kita perlu nilai terlebih dahulu, bergantung kepada kepentingan.

“Ini kerana kita merasakan kita menangani wabak ini di tahap terbaik, kerana itu kita berani buat penilaian ini, malah kita juga membuat perkongsian maklumat dan data dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain,” kata beliau dalam sidang media berkenaan situasi terkini koronavirus, pada Khamis.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kecemasan peringkat antarabangsa

Dr Dzulkefly juga memaklumkan tiada permintaan dari China untuk membawa balik rakyat mereka yang disahkan positif virus berkenaan buat masa ini.

Kementerian juga kata Dr Dzulkefly, tidak mempunyai halangan untuk mana-mana perayaan disambut di negara ini, namun menasihatkan agar langkah pencegahan dan berjaga-jaga diambil.


Sementara itu, sebagai langkah tambahan, Kementerian Kesihatan telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar dari Wuhan dan Hubei sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Warga pendidik, pentadbir dan pelajar warganegara serta bukan warganegara yang berada di Malaysia serta mempunyai sejarah tinggal atau melawat Wuhan dan Hubei akan diletakkan di bawah perintah pengawasan di tempat tinggal masing-masing selama 14 hari dari tarikh berlepas.

Setakat jam 12 tengah hari ini, tiada pertambahan kes positif koronavirus di Malaysia menjadikan angka kekal lapan orang, kesemuanya warga China.