Tutup

Koronavirus: Saringan di pintu masuk negara diperketat - TPM

Koronavirus: Saringan di pintu masuk negara diperketat - TPM
Saringan di setiap pintu masuk ke negara ini akan diperketatkan, maklum Timbalan Perdana Menteri.
PUTRAJAYA: Saringan di setiap pintu masuk ke negara ini akan diperketatkan lagi dalam usaha mengekang penularan kluster novel koronavirus (2019-nCoV), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, pasukan yang terdiri daripada beberapa pegawai dan anggota dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen dan pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan ditugaskan menyaring kemasukan pelancong dari luar negara, khususnya China.
“Pintu masuk akan diperketatkan. Sebelum menaiki penerbangan (ke sini) pun mereka akan disaring, ditanya beberapa soalan yang boleh beri sedikit maklumat kepada kita sama ada mereka ini berisiko (dijangkiti) ataupun tidak,” katanya media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Coronavirus (2019-nCoV), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang.

BACA: Dua kanak-kanak warganegara China dikuarantin di Langkawi
BACA: Koronavirus: China haramkan penjualan haiwan liar

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, Kementerian Kesihatan mempunyai fasiliti yang mencukupi untuk melakukan proses saringan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan mesin pengesan haba, yang kini sebanyak 51 buah, akan ditambah di pintu masuk negara.

“Kita memang nak tambah lagi (mesin pengesan haba), untuk ambil suhu bayi dan sebagainya. Kerana kita ada kekangan, kadang-kadang ada pesakit tidak menunjukkan gejala, tetapi dia menjadi pembawa kepada virus itu,” katanya lagi.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, berdasarkan faktor itu maka diputuskan pihaknya memutuskan agar prosedur seperti bertanya soalan diperkenalkan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kebarangkalian mereka membawa virus 2019-nCoV.


Tag: Wan Azizah, Wan Azizah Wan Ismail, wuhan, koronavirus, Saifuddin Abdullah, Media, Azizah, Gobind Singh Deo, TPM, MAHB, Kementerian Kesihatan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Polis Negara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.