Isu keselamatan Laut China Selatan mendominasi pertemuan antara 10 negara anggota ASEAN dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang, pada Rabu.

Menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-21, Keqiang berkata beliau bersama pemimpin ASEAN pada ketika ini sedang berusaha merangka kod tatacara mentadbir laluan navigasi serta aktiviti lain di rantau itu.

Ujar beliau, inisiatif itu dilihat sebagai sebahagian usaha dalam mewujudkan kestabilan yang lebih utuh di ASEAN.

“Kami telah kenal pasti cara untuk menguruskan dan menyelesaikan perbezaan (pandangan antara negara anggota ASEAN).

“Sebagai contoh, berkenaan isu Laut China Selatan, menerusi pelaksanaan Deklarasi Tata Laku (DOC) pada tahun-tahun sebelum ini, secara keseluruhan, kestabilan dan keamanan kekal di Laut China Selatan.

“Kini kita melangkah ke arah kestabilan yang lebih lagi. Terima kasih kepada semua pihak berkepentingan, kita telah mencapai satu teks draf rundingan yang baharu,” katanya pada sidang kemuncak tersebut.

Draf yang dikenali sebagai Kod Tata Laku (COC) yang membabitkan negara berkepentingan dalam tuntutan di Laut China Selatan termasuk negara kuasa besar berperanan ke arah menyekat konflik meletus.

Ia sekali gus merealisasikan dasar aman, bebas dan berkecuali negara anggota ASEAN (ZOPFAN) yang dipersetujui pada 1971.

Pada Jun lalu, mesyuarat pegawai kanan ke-15 ASEAN mengenai pelaksanaan DOC di kota Changsha, Hunan, menyaksikan mereka menandatangani perjanjian dengan China untuk meneruskan rundingan memeterai COC termasuk mentakrif apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di perairan itu.