Majlis Penasihat Kerajaan hari ini memanggil beberapa pegawai serta ketua-ketua syarikat milik kerajaan di Menara Ilham, di ibu negara pagi ini.

Sesi taklimat itu bermula jam 10.30 pagi di tingkat 60 menara tersebut.

Individu yang terlibat memberi taklimat ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Asri Hamidon dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Komersial), Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan, Datin Rashidah Mohd Sies.

Turut memberi taklimat Presiden Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Presiden Pengusaha- Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia Datuk Seri Sabin Samitah.

Pihak media cuba mendapatkan komen mereka berhubung intipati taklimat, namun kesemuanya enggan memberikan sebarang kenyataan.

Minggu lepas, Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil FELDA dan FELCRA di Menara Ilham.

Turut dipanggil, pegawai kanan pengurusan projek rel mega dan pegawai kerajaan berkaitan dan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi 1MDB.