Hujan lebat berterusan sejak malam Khamis telah mengakibatkan beberapa kawasan di Pulau Langkawi dilanda banjir dengan sekurang-kurangnya 32 kediaman penduduk dari tujuh kampung dan enam batang jalan utama sekitar daerah itu terjejas.

Air yang naik dengan cepat serta angin kencang turut menumbangkan beberapa batang pokok yang menghempap kereta dan rumah penduduk.

Antara kediaman penduduk yang terjejas ialah Kampung Bayas, Sungai Menghulu, Syed Nahar, Kedawang, Belak, Tanjung yang dinaiki air setinggi 0.5 meter.



Banjir juga telah mengakibatkan beberapa jalan yang terjejas termasuk Jalan Kuah-Padang Matsirat, Kampung Yoi, Chandek Kura, Kedawang dan Lebuh Raya Langkawi dinaiki air antara 0.3 hingga 0.5 meter.

BACA: Banjir kilat: Enam pusat pemindahan dibuka di Kedah setakat 10 malam tadi

Menurut Pegawai Daerah Langkawi yang juga Pengerusi Bencana Banjir Daerah Langkawi, Isahak Murat, Bilik Gerakan Banjir Daerah Langkawi (BGBDL) mula dibuka seawal jam 7 malam tadi bagi mengumpul maklumat dan merancang bantuan kecemasan kepada mangsa..

Selain itu beberapa agensi telah bersiapsiaga antaranya Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir bertambah buruk.

Malah air bukit yang kuat turut mengakibatkan perkhidmatan kereta kabel terpaksa ditutup buat sementara.